HASSANUDIN (kanan) dan wakil Persatuan Rakan Budi Kedah, Rohayati Ayob, (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan keperluan makanan dan kerusi roda kepada Azizah ketika mengunjungi dua beradik itu di rumah mereka di Kampung Lama. -Foto ZULIATY ZULKIFFLI
Zuliaty Zulkiffli


“SAYA perlu mengurus dan melayan mereka seperti kanak-kanak, walaupun dua adik saya ini sudah berusia 47 dan 49 tahun kerana mereka orang kurang upaya (OKU) sejak dilahirkan,” kata Azizah Husin, 61.

Azizah berkata, Noraini, 49, mampu menguruskan dirinya sendiri, manakala adik bongsunya, Roslinda, 47, pula perlu dilayan seperti kanak-kanak kecil.

Katanya, Roslinda tidak boleh berjalan dan hanya mengesot, meniarap atau merangkak untuk bergerak disebabkan lututnya tidak stabil dan perlu memakai lampin pakai buang.

“Noraini pula sering memberontak, kalau ada sesuatu yang dia tidak puas hati dia akan marah adiknya dan mengamuk sambil membaling barang dalam rumah.

“Kedua-dua mereka bisu, manakala Noraini pula mengalami masalah pendengaran dan kami hanya menggunakan bahasa isyarat untuk bertutur,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Lama, Jitra, semalam.

Azizah berkata, sebagai kakak sulung daripada empat beradik, dia sanggup menggalas tugas menjaga dua adiknya itu selepas kematian ibu mereka, Chik Jasin kira-kira tiga tahun lalu.

Katanya, arwah ibunya juga berpesan supaya menjaga dua adik istimewa yang mengalami demam kuning serius ketika kecil selain mempunyai seorang lagi adik, Zainal Husin, 57, yang tinggal berhampiran rumah pusaka itu.

“Dua adik saya mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (OKU) setiap bulan sebanyak RM250 seorang dan wang itu diguna bagi membeli barangan keperluan mereka.

“Suami saya, Shuib Mt Rejab, 63, pesara kerajaan dan hanya menggunakan wang pencen untuk menyara kami sekeluarga setiap bulan manakala dua anak lelaki saya berusia 22 dan 36 tahun bekerja di Kuala Lumpur,” katanya.

Menurutnya, setiap hari dia akan memastikan rumahnya dalam keadaan bersih dan kemas kerana bimbang Roslinda akan memasukkan apa sahaja objek ditemui ke dalam mulutnya.

Katanya, adik bongsunya itu perlu disuap makan dan setiap waktu kerana dia tidak boleh melakukan sendiri berbanding Noraini yang boleh melipat dan menyidai kain.

Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank 157054711124 atas nama Shuib Mt Rejab.

Sementara itu, nasib dua beradik berkenaan mendapat simpati Menteri Besar yang menyampaikan sumbangan melalui Pegawai Khasnya, Hassanuddin Samsudin, semalam dan Persatuan Rakan Budi Kedah.

Beliau menyampaikan sumbangan kerusi untuk Roslinda selain barangan keperluan harian selain sumbangan peribadi untuk membantu dua anak istimewa itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 January 2019 @ 11:10 AM