Mohd Hilmie Hussin


LAFAZ kesyukuran Alhamdulillah kedengaran dalam kamar Mahkamah Tinggi Ayer Keroh, Melaka hari ini apabila pemilik bengkel besi terlepas hukuman gantung atas tuduhan mengedar dadah tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Siti Khadijah S Hassan Badjenid membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Hemy Faizal Mohtar, 36.

Dalam penghakimannya Siti Khadijah berkata, pihak pembelaan berjaya mematahkan hujah dikemukakan pihak pendakwaan malah wakil tertuduh berjaya menimbulkan keraguan munasabah.

“Pendakwaan gagal membuktikan kes tanpa keraguan munasabah, namun pihak tertuduh gagal berbuat demikian pada pertuduhan keempat.

“Mahkamah dengan ini membebaskan tanpa melepaskan tertuduh yang didapati bersalah pada pertuduhan keempat,” katanya.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengedar Methamphetamine seberat 87.95 gram (g) di bengkel besi di Kampung Sungai Putat, jam 3 pagi, pada 25 Jun 2016.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 39(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman gantung sampai mati.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengedar heroin seberat 3.65g dan didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 13A(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara hingga lima tahun dan dikenakan sebatan sehingga sembilan sebatan.


Hemy terlepas hukuman gantung terhadap pertuduhan mengedar dadah. FOTO Rasul Azli Samad

Pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa memiliki 0.16 gram Monoacetyl Morphines dan didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya.

Pertuduhan kedua dan ketiga dilakukan di lokasi, waktu dan tarikh sama dengan pertuduhan pertama.

Pertuduhan keempat, tertuduh didakwa memiliki dadah jenis Methamphetamine 1.3 gram di sebuah rumah di Jalan Tembusu, Taman Merdeka, jam 2.15 pagi pada 25 Jun 2016.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12(2)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama.

Untuk pertuduhan terakhir, Siti Khadijah memerintahkan tertuduh membayar denda RM30,000 atau penjara 18 bulan jika gagal bayar selain menjalani hukuman penjara selama tiga tahun bermula dari tarikh ditangkap pada 25 Jun 2016.

Sepanjang kes itu berlangsung bermula Disember 2016, pihak pendakwaan memanggil seramai 13 saksi.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Muzila Mohamed Arsad manakala tertuduh diwakili peguam bela Haslinda Abu Bakar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 January 2019 @ 12:14 PM