Izlaily Nurul Ain Hussein


TERSILAP masuk ke dalam kereta yang ditempah menerusi aplikasi e-hailing, seorang wanita nyaris dirogol lelaki warga Pakistan di kawasan semak di Jalan Susur 2, Jalan Tun Abdul Razak, Johor Bahru, Isnin lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, mangsa berusia 23 tahun tidak memeriksa nombor pendaftaran dan jenis kereta yang ditempah terlebih dahulu sebelum terus menaiki kenderaan suspek selepas dimaklumkan oleh pemandu bahawa keretanya sudah sampai.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, mangsa sepatutnya menaiki kereta Perodua Bezza, sebaliknya kereta suspek adalah Proton Gen2.

Katanya, mangsa menempah kereta sewa itu di Jalan Yahya Awal untuk pergi ke Larkin.

“Selepas menerima panggilan telefon daripada pemandu yang ditempah menyatakan sudah sampai, mangsa terus memasuki kereta suspek yang berada di lokasi itu tanpa memeriksa nombor pendaftaran dan jenis kenderaan itu

“Suspek yang menyamar sebagai pemandu kereta sewa itu terus bergerak, namun disedari mangsa yang duduk di tempat duduk belakang bahawa jalan dilalui tidak menuju ke Larkin.

“Mangsa mendapati suspek berpusing-pusing di kawasan yang sama dan bertindak menegur suspek kerana mengikut jalan yang salah, sebelum suspek memberhentikan kereta ketika tiba di tempat kejadian,” katanya.

ASISTEN Komisioner Shahurinain Jais. FOTO Arkib NSTP

Katanya, suspek kemudian datang ke tempat duduk belakang dan menampar pipi mangsa kerana cuba melarikan diri.

“Mangsa berjaya keluar daripada kereta, namun terjatuh ke atas jalan. Suspek kemudian dikatakan membuka separuh seluar mangsa dan mengeluarkan air mani, namun mangsa percaya tiada kemasukan kemaluan suspek ke dalam kemaluannya memandangkan dia tidak merasa sakit,” katanya.

Shahurinain berkata, suspek kemudian meninggalkan mangsa selepas kira-kira empat minit kemudian.

“Mangsa kemudian menahan sebuah kenderaan dan datang ke Balai Polis Larkin untuk membuat laporan polis,” katanya.

Daripada pemeriksaan badan, katanya, tiada kesan kecederaan yang jelas pada tubuh mangsa, namun dia dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HAS) untuk pemeriksaan lanjut.

Kurang 24 jam selepas insiden, polis menahan seorang lelaki warga Pakistan yang disyaki terbabit dalam kes cubaan merogol itu.

Menurut Shahurinain, lelaki berusia 31 tahun itu ditahan di tepi Jalan Tun Abdul Razak, Johor Bahru, kira-kira jam 11 malam Selasa lalu.

“Kita turut merampas kereta Proton Gen2, sebuah telefon bimbit, sehelai baju T berwarna hitam, sehelai seluar jeans berwarna biru dan serangkai kunci kereta.

“Tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan untuk siasatan mengikut Seksyen 376/511 Kanun Keseksaan,” katanya.

Hasil siasatan awal, katanya, suspek mengaku terbabit dalam kes berkenaan dan dia direman selama enam hari sehingga Isnin depan.

“Saringan ujian awal air kencing ke atas suspek mendapati dia negatif dadah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 January 2019 @ 12:54 PM