Noor Azurin Mohd Sharif


SEKUMPULAN penyamun dikenali ‘Geng Sampa’ yang menyamun warga asing di sebuah ladang estet di Pondok Batang Simpang Bekoh di Jasin, Melaka tumpas apabila diberkas polis tidak sampai 24 jam selepas melakukan samun.

Kumpulan terdiri daripada empat lelaki berusia 22 hingga 43 tahun itu ditahan anggota polis pada 30 dan 31 Disember lalu di beberapa lokasi berasingan sekitar Jasin dan Tangkak, Johor.

Ketua Polis Daerah Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, penahanan semua suspek warga tempatan itu susulan laporan polis yang dibuat lelaki berusia 23 tahun dipercayai pengurus ladang berkenaan pada 30 Disember lalu.

Beliau berkata, dalam kejadian jam 10 malam pada 29 Disember lalu, lelaki itu mendakwa rumah kongsi didiami lima pekerja warga asing dengan empat daripadanya warga Bangladesh dan seorang Indonesia didatangi sekumpulan lelaki dengan berpenutup muka.

“Sejurus memasuki rumah kongsi berkenaan, semua warga asing terbabit dipukul dengan kayu dan parang, sebelum mereka diikat.

“Suspek kemudian mengambil wang, telefon bimbit dan pasport mangsa. Mangsa juga mengalami kecederaan muka akibat dipukul,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin hari ini.

Arshad berkata, siasatan awal mendapati kumpulan berkenaan dipercayai baru bergiat aktif melakukan samun dengan menyasar mangsa warga asing.

“Siasatan juga mendapati ,seorang daripada suspek iaitu ketua kumpulan berkenaan berusia 43 tahun mempunyai rekod jenayah lalu berkaitan kes gaduh dan mendatangkan kecederaan.

“Polis berjaya menyelesaikan kes tidak sampai 24 jam sejurus selepas kejadian selain turut merampas beberapa telefon bimbit mangsa dengan anggaran kerugian RM1,500,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana mengakibatkan kecederaan.

Dalam pada itu, Arshad berkata, kadar indeks jenayah di daerah ini bagi tempoh Januari hingga Disember tahun lalu menunjukkan penurunan 10 peratus iaitu 231 kes berbanding 258 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

“Penyumbang tertinggi indeks jenayah di daerah Jasin adalah kes curi motosikal iaitu sebanyak 64 kes dan 29 daripadanya berjaya ditemui semula.

“Ia diikuti kes pecah rumah di kawasan tumpuan seperti Merlimau dan Jasin dan kes-kes lain 59 kes,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 January 2019 @ 1:43 PM