FOTO Hiasan
Sarah Zulkifli

MEKANIK didenda RM6,550 oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini, atas tiga tuduhan termasuk menganiaya seekor kucing dengan menghempas dan menghayun haiwan itu ke pintu pejabat Badan Pengurusan Bersama (JMB) Flat Desa Mentari, Taman Medan, November 2017.

Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir menjatuhkan hukuman itu terhadap R K Keseva Muhunthan, 42, selepas tertuduh mengaku bersalah sebaik ketiga-tiga pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara lapan bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan pertama, Keseva didakwa melakukan perbuatan khianat dengan memecahkan pintu pejabat JMB flat itu menggunakan sebatang kayu dan dakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mencetuskan pelanggaran keamanan dan mendatangkan ketakutan terhadap kerani pejabat JMB sama, Nurul Toiyibah Abdul Razak, 29 dan Nurulain Jenal, 32.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100.

Manakala bagi pertuduhan terakhir, Keseva didakwa melakukan perbuatan khianat dengan menghempas dan menghayun seekor kucing pada pintu pejabat JMB dan bagi kesalahan itu, dakwaan dilakukan mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di hadapan pejabat JMB Flat Desa Mentari, Blok 9, Jalan PJS 2, Taman Medan, di sini, jam 11.29 malam pada 26 November 2017.

Bagi kesalahan memecahkan pintu pejabat JMB flat itu, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM3,000 atau empat bulan penjara, bagi kesalahan mencetuskan pelanggaran keamanan dan mendatangkan ketakutan terhadap kerani pejabat JMB, dia didenda RM50 manakala bagi kesalahan melakukan khianat terhadap kucing, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM3,500 atau empat bulan penjara.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah meringankan hukuman dengan alasan dia perlu menanggung neneknya selain memohon maaf atas kesalahan dilakukannya.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Baizura Mohd Saubian kemudian memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pengajaran terhadap tertuduh.

Mengikut fakta kes, dalam kejadian itu, Nurul Toiyibah yang juga pengadu dalam kes terbabit didatangi seorang lelaki yang memegang sebatang kayu dan membuat kacau di hadapan pejabat JMB flat berkenaan.

Ketika itu, lelaki berkenaan menghentak-hentak pintu pejabat terbabit dan dalam masa sama menangkap seekor kucing dan bertindak menghayun serta menghempas haiwan itu ke pintu pejabat sebelum perkara berkenaan diadukan kepada pihak polis.

Bertindak atas laporan polis, lelaki itukemudian ditahan anggota polis dari Balai Polis Petaling Jaya untuk siasatan lanjut.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 January 2019 @ 3:30 PM