MOHAMAD (tengah) bersama Wan Rosdy (kiri) Ramli. FOTO Aizuddin Saad


PERCATURAN Barisan Nasional (BN) yang meletakkan calon langsung bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands 26 Januari ini untuk mendapat peluang kemenangan lebih besar.

Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, calon langsung BN iaitu bekas pegawai kanan polis Ramli Mohd Nor boleh memberikan kelebihan kepada pihaknya.

“Untuk menang dalam pilihan raya, dalam keadaan suasana politik semasa sekarang ini, kita mengambil pendekatan berlainan.

“Jika dulu, kebiasaan kita parti mendukung kami, tetapi dalam keadaan politik semasa dan dengan semua fitnah dilemparkan Pakatan Harapan (PH) terhadap BN, sekarang ini pendekatan kita, hendak calon mendukung parti.

“Calon itu menjadi faktor penting, bukan parti lagi. Kita buat saringan, yang penting calon mesti tepat dan faktor utama untuk menang. Maka, ia calon BN bukan lagi calon dari parti,” katanya pada sidang media pengumuman calon di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama Presiden MIC Tan Sri SA Vigneswaran; Setiausaha Agung BN Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz; Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail serta wakil lain termasuk daripada PAS.

Ramli, 61, dari kaum Orang Asli suku Semai bersara daripada perkhidmatan polis sebagai Asisten Komisioner Polis (ACP) pada 1 Oktober 2018.

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Pengajian Perniagaan University of East London United Kingdom (UEL) dan Sarjana Pentadbiran Awam Universiti Terbuka Malaysia (OUM) kini mengikuti Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Universiti Antarabangsa Malaya-Wales.

Bapanya (suku Semai) berasal dari Cameron Highlands manakala ibunya dari suku Temiar, Gua Musang, Kelantan dan beliau sendiri dilahirkan di Penempatan Orang Asli Batu 12, Jalan Pahang, Gombak.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, pihaknya berterima kasih kepada PAS yang tidak meletakkan calon dalam PRK itu, sekali gus memberi peluang kepada BN.

Beliau juga berterima kasih kepada MIC yang ‘meminjamkan’ kerusi terbabit kepada calon bukan ahli parti berkenaan.

“Terima kasih kepada (Presiden PAS) Datuk Seri Hadi Awang, kerana PAS tidak meletakkan calon di Cameron Highlands. Terima kasih kerana persefahaman, PAS beri laluan kepada BN, MIC beri pinjam kerusi,” katanya.

Menurutnya, dengan calon terbaik BN itu apatah lagi mendapat bantuan PAS, beliau menaruh keyakinan 85 peratus mendapat kemenangan.

Sementara itu, Vigneswaran berkata, tindakan meletakkan calon langsung BN dan bukannya dari parti itu adalah strategi untuk menang.

“Kami fikir ini dibuat secara strategik untuk menang pilihan raya, dengan meletakkan calon ada integriti.

“Kita sudah memberi jasa, membantu penduduk tempatan, tetapi apabila Datuk C Sivarraajh (penyandang kerusi itu) tidak bertanding, peratus keyakinan kita jatuh 50 peratus.

“Apabila dia dihalang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), maka persiapan kita (untuknya) jatuh. Memang orang Melayu tak suka DAP, tapi suka MIC,” katanya.

PRK Cameron Highlands diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan calon BN Sivarraajh pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu selepas memutuskan berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan berkenaan.

Pada PRU itu, Sivarraajh yang juga Naib Presiden MIC menang di kerusi terbabit dalam saingan lima penjuru dengan majoriti 597 undi selepas memperoleh 10,307 undi.

Beliau menewaskan empat calon lain iaitu M Manogaran (DAP) yang meraih 9,710 undi; Wan Mahadir Wan Mahmud (PAS - 3,587 undi); Mohd Tahir Kassim (Berjasa - 81 undi) dan B Suresh Kumar (PSM - 680 undi).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 January 2019 @ 5:03 PM