SHAMRAHAYU. FOTO Arkib NSTP
Mohd Nasif Badruddin


SUDAH lama atau baharu menaiki takhta sebagai Sultan bukan syarat untuk dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Ia sekali gus memungkinkan spekulasi Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah bakal dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong sekiranya baginda ditabal sebagai Sultan Pahang selepas ayahandanya Sultan Ahmad Shah yang kini gering menyerahkan takhta negeri.

Berdasarkan kepada Perkara 9 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang, Raja Pemerintah iaitu Sultan Ahmad Shah boleh turun takhta dan melepaskan hak serta kuasa diraja jika baginda ingin berbuat demikian dengan reda hati sendiri dan perlu menandatangani Surat Perintah.

Mengikut tradisi penggiliran, jawatan Yang di-Pertuan Agong selepas Kelantan menurut senarai kekananan adalah Pahang diikuti Johor dan Perak, namun keputusan pemilihannya akan dibuat oleh Majlis Raja-Raja (MRR) yang bermesyuarat pada 24 Januari ini.

Susulan peletakan jawatan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong Ahad lalu, timbul persoalan siapa bakal menaiki takhta berikutan Sultan Ahmad Shah berada dalam keadaan gering.

Sementara, senarai kekananan seterusnya ialah Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar serta Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang juga Pemangku Yang di-Pertuan Agong.

Pakar Perlembagaan Prof Madya Dr Shamrahayu A Aziz berkata, sekiranya Tengku Abdullah dilantik sebagai Sultan Pahang dan berada dalam senarai kekananan terkini, baginda boleh dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong selepas mendapat undi majoriti dalam Mesyuarat MRR.

“Tiada syarat baharu atau lama menjadi Sultan untuk menjadi Yang di-Pertuan Agong, secara tradisinya ia berdasarkan kepada senarai kekananan mengikut negeri dan keputusan MRR.

“Kalau betul baginda bersedia dan menerima jawatan itu, boleh dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau yang juga Pensyarah Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, tidak timbul soal cukup masa atau tidak untuk dilantik sebagai Sultan Pahang sebelum dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong kerana tiada syarat khusus mewajibkan perlu dilakukan istiadat dalam tempoh terdekat.

Menurutnya, pemasyhuran Sultan yang membabitkan pengisytiharan dan menandatangani Surat Perintah perlu dibuat segera, manakala istiadat pertabalan pula hanyalah formaliti serta boleh diadakan pada bila-bila masa.

Katanya, situasi hampir sama pernah berlaku pada Sultan Muhammad V yang dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan pada 13 September 2010 menggantikan ayahandanya Sultan Ismail Petra yang gering dan tidak diadakan istiadat pertabalan hingga kini.

Menurut sumber, satu perbincangan akan diadakan minggu ini bagi menabalkan Tengku Abdullah sebagai Sultan Pahang yang baharu menggantikan ayahandanya dalam masa terdekat.

Difahamkan, Tengku Abdullah dijangka kembali ke tanah air hari ini selepas menghantar anakandanya, Tengku Panglima Besar Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah melanjutkan pengajian ke Akademi Tentera Diraja Sandhurst, London.

Tengku Abdullah dilantik sebagai Pemangku Raja Pahang selepas mendapat perkenan Sultan Ahmad Shah yang diisytiharkan dalam surat rasmi kerajaan negeri bertarikh 28 Disember 2016.

Lagi berita berkaitan Agong letak jawatan

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 January 2019 @ 5:18 PM