PASUKAN bomba mengambil masa lebih sejam untuk menyelamatkan anjing yang terperangkap di dalam longkang. FOTO ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat.


PASUKAN bomba dan penyelamat bertungkus-lumus lebih sejam untuk mengeluarkan seekor anjing yang tercedera selepas ia terperangkap di dalam longkang tertutup di Telekom Jalan 6, Taman Shahjaya, Batu 10, Cheras, malam tadi.

Anjing yang patah kaki kiri itu terperangkap di dalam longkang sebelum disedari orang awam jam 8.30 malam seterusnya menghubungi pihak bomba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Hussien Onn, Mohamad Akmal Mohamad Khairi berkata, pihaknya terpaksa menggunakan alat pernafasan untuk masuk ke dalam longkang berkenaan kerana dikhuatiri anggotanya mengalami masalah tekanan udara.

“Pihak kami menerima panggilan jam 8.58 malam sebelum lima petugas dari BBP Bandar Tun Hussien Onn dengan sebuah jentera bergegas ke lokasi dan mendapati seekor anjing terperangkap di dalam longkang tertutup sejauh kira-kira 100 meter.

“Pihak kami kemudiannya memasang alat pernafasan (Breathing Apparatus) pada anggota untuk masuk ke dalam longkang bagi mengelakkan masalah pernafasan. “Selepas hampir sejam berusaha, akhirnya anjing yang patah kaki kiri berjaya dikeluarkan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga menggunakan tali bagi memberi bantuan petunjuk jalan kepada haiwan berkenaan ketika membawanya keluar dari longkang.

“Operasi tamat jam 10.28 malam. Anjing liar berkenaan bagaimanapun melarikan diri sebaik keluar dari longkang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 January 2019 @ 5:40 PM