NOOR Rashid (dua dari kiri) bersama moderator, panel dan peserta forum. FOTO Azhar Ramli
Mohd Azam Shah Yaacob


POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menyerahkan sepenuhnya keputusan berhubung siasatan kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim kepada mahkamah.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, siasatan kes itu sudah siap sepenuhnya dan sudah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) bagi proses pendengaran di mahkamah.

Katanya, inkues akan bermula dalam jangka waktu terdekat dan segala hasil siasatan serta maklumat mengenainya akan terjawab sepanjang prosiding itu nanti.

“Siasatan kes kematian anggota bomba berkenaan sudah selesai sepenuhnya dan biarlah mahkamah tentukan keputusannya.

“Saya yakin mahkamah akan mendengar semua hasil siasatan itu sekali gus menjawab punca kematian Adib,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Forum Kes Penderaan Kanak-Anak Semakin Meningkat: Adakah Undang-Undang Kurang Berkesan? di Maktab PDRM Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.

Sementara itu, mengulas mengenai isu penghinaan terhadap peletakan jawatan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-15 pada Ahad lalu, Noor Rashid berkata, sebanyak empat laporan diterima polis.

Katanya, ia termasuk tiga laporan membabitkan tiga individu yang ditahan polis kelmarin mengikut Akta Hasutan.

“Bagaimanapun, tiga individu berkenaan sudah dibebaskan dengan jaminan polis semalam selepas keterangan mereka diambil.

“Malah, saya mahu ambil kesempatan untuk mengingatkan orang ramai agar tindak mencetuskan situasi yang mengancam keselamatan dan keharmonian negara,” katanya.

Noor Rashid berkata, biarpun negara kini sudah mengamalkan konsep kebebasan bersuara, namun masyarakat tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil tindakan yang boleh mencetuskan ketegangan sesuatu pihak.

“Kebebasan bersuara bukan bermakna masyarakat kini boleh bercakap sewenang-wenangnya perkara yang boleh mencetuskan situasi tegang.

“Sebaliknya, mereka perlu akur dengan peruntukan undang-undang sedia ada dan jika ingkar, polis tidak akan teragak-agak untuk menahan mereka,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Allahyarham Muhammad Adib
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 January 2019 @ 6:49 PM