NORIHAN (dua dari kiri) menyampaikan replika cek Faedah Pencen Penakat sebanyak RM140,245.11 kepada Habesah (dua dari kanan) di rumahnya di FELDA Bukit Bading, Hulu Terengganu. FOTO Zaid Ibrahim.


“INI rezeki anak-anak dan saya akan bahagikan duit ini kepada mereka biar mereka dapat rasa apa yang ditinggalkan arwah bapa mereka,” kata Habesah Daud, dari FELDA Bukit Bading, Hulu Terengganu, selepas menerima Faedah Pencen Penakat PERKESO sebanyak RM140,245.11, semalam.

Menurut Habesah, 47, arwah suaminya, Ismail Mat Yasin yang bekerja di kilang memproses kayu getah di Semambu, Kuantan, meninggal dunia pada November 2012 akibat penyakit luekemia.

Menurutnya, selepas kematian suami, dia pernah bercadang untuk pergi ke pejabat PERKESO untuk membuat semakan caruman arwah suami, tetapi perasaan takut untuk ke pejabat berkenaan menyebabkan ia tertangguh selama enam tahun.

“Terima kasih kepada Skuad Prihatin PERKESO diketuai Mohd Sabri Ramli kerana dengan usaha mereka menjejak alamat saya bagi menunaikan tanggungjawab diamanahkan kepada mereka.

“Selepas arwah meninggal, saya sudah membuat upah haji dan melunaskan segala hutang arwah.

“Saya bercadang untuk membahagikan duit ini kepada empat anak berusia 27, 26, 19 dan 15 tahun. Dua orang daripada mereka masih belajar manakala anak yang kedua bekerja sebagai jururawat di Cheras, Kuala Lumpur dan anak sulong sudah berumahtangga serta tinggal bersama saya,” katanya yang kini mengusahakan perniagaan di kantin sekolah di Hulu Terengganu.

Menurutnya, dia bercadang membuat kenduri kesyukuran dan akan berbincang dengan anak apabila mereka berkumpul nanti.

Penyerahan cek Faedah Pencen Penakat dan Faedah Pengurusan Mayat disampaikan Timbalan Pengarah PERKESO negeri Norihan Ibrahim.

Norihan berkata, selain bayaran Faedah Pencen Penakat, pihaknya turut membayar faedah Pengurusan Mayat kepada Habesah sebanyak RM1,500.

“Habesah dan dua anaknya berusia 15 dan 19 tahun layak menerima faedah pencen berkenaan sebanyak RM1,876.88 setiap bulan sepanjang hayat mereka.

“Manakala anak sulong dan kedua akan menerima pencen berkenaan sehingga usia 21 tahun,” katanya.

Norihan menasihatkan orang ramai khususnya waris pencarum supaya menghubungi pejabat PERKESO sekiranya berlaku sesuatu kepada pencarum sama ada meninggal dunia atau mengalami kecacatan akibat kemalangan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 January 2019 @ 12:30 AM
Skip this ad x