Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@nstp.com.my


TINDAKAN sembilan lelaki membelasah empat beradik lelaki di tapak pasar malam di Taman Lobak, Lunas, dekat Kulim, mengundang padah apabila mereka ditahan polis malam tadi.

Difahamkan sebelum kejadian, mereka semua bergaduh ketika bermain futsal sebelum seorang remaja berusia 16 tahun yang tidak berpuas hati memberitahu abangnya.

Mangsa bersama tiga abangnya itu kemudian bertemu kumpulan suspek berusia antara 16 hingga 27 tahun di tapak pasar malam pada 6.30 petang untuk berbincang mengenai perselisihan faham antara mereka.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, bagaimanapun perkara sebaliknya berlaku apabila suspek bertindak menyerang mangsa dengan topi keledar dan pisau lipat.

Menurutnya, selepas memukul mangsa, suspek kemudian terus melarikan diri sementara empat beradik itu cedera sebelum dikejarkan ke Hospital Kulim untuk menerima rawatan.

“Sebaik menerima rawatan, remaja lelaki terbabit kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Hi Tech untuk tindakan selanjutnya.

“Susulan itu gerakan mencari suspek dijalankan sebelum mereka ditahan secara berasingan sekitar 12 tengah malam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Nasir berkata, suspek direman empat hari bermula hari ini dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 January 2019 @ 12:26 PM