SUASANA pilu di lokasi kemalangan di Batu 6, Jalan Tuaran Bypass, Kota Kinabalu. FOTO Junaidi Ladjana
Junaidi Ladjana


MEMILUKAN apabila isteri mendukung anaknya sambil menangis di sisi mayat suami yang maut dalam kemalangan membabitkan motosikal ditunggangnya dengan kereta di Batu 6 Jalan Tuaran Bypass di Kota Kinabalu, malam tadi.

Suasana semakin pilu apabila anak yang didukungnya turut menangis.

Difahamkan, wanita itu yang bergegas ke lokasi kemalangan sebaik mendapat tahu mengenai nahas terbabit dan tidak dapat menahan kesedihan apabila melihat mayat suaminya, Baharudin Madzukil, 33, berlumuran darah dengan ditutupi kain.

Wanita itu kemudian cuba ditenangkan oleh beberapa orang awam, namun ibu mangsa yang kemudian tiba di lokasi kejadian turut menangis sebaik melihat mayat anaknya.

Difahamkan, ketika kemalangan mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Sepanggar.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, siasatan awal mendapati kejadian membabitkan Perodua Axia dan sebuah motosikal.

“Perodua Axia dipandu wanita berusia 57 tahun dari Tuaran menuju ke Kota Kinabalu dan apabila tiba di lokasi kejadian, tiba-tiba motosikal terlanggar bahagian tepi kanan kenderaan terbabit yang keluar simpang untuk membuat pusingan U.

“Akibat kejadian itu, penunggang motosikal parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu Perodua Axia cedera,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE) untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 January 2019 @ 12:48 PM