FOTO Hiasan
Siti Nur Mas Erah Amran


KERAJAAN Selangor memberi jaminan bahawa pengguna tidak akan terbeban sekiranya kadar tarif air dinaikkan di negeri itu.

Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, beliau akan mempertahankan kadar munasabah supaya pengguna dapat terus menikmati bekalan air bersih dan berkualiti.

Katanya, pihaknya sedang menunggu pertimbangan dan tawaran yang diusulkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) kerana ia membabitkan semua kerajaan negeri.

“Perbincangan akan berlangsung dengan semua pihak termasuklah orang awam dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Kadarnya akan kita pertahankan, supaya biar lebih munasabah dan tidak membebankan rakyat.

“Saya tidak boleh nak dedahkan semua kerana kita akan mengadakan rundingan bagi mencapai kata sepakat dalam isu ini,” katanya menghadiri program Jelajah Maju, hari ini.

Mengulas lanjut, Amirudin meminta penduduk bersabar kerana pertemuan antara kerajaan negeri dan SPAN akan berlangsung dalam masa terdekat.

“Sebagai contoh, Pahang dan Perlis tiada kenaikan sejak 30 tahun lalu, begitu juga dengan Selangor yang sudah 12 tahun tidak dinaikkan.

“Bagaimanapun, saya perlu pastikan kenaikan tarif air jauh lebih rendah daripada kenaikan tarif elektrik, itu janji kita,” katanya.

Pada 9 Januari lalu, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A Xavier Jayakumar, mengumumkan kadar tarif air mungkin akan dinaikkan secara berperingkat pada tahun ini selaras dengan usaha kerajaan untuk menstruktur semula industri perkhidmatan bekalan air di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 January 2019 @ 2:58 PM