Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my


MAHKAMAH Majistret Petaling Jaya, hari ini, mengeluarkan waran tangkap terhadap pelakon dan pengarah, Datuk Farid Kamil Zahari kerana gagal hadir pada prosiding perbicaraan hari keempat dalam kes yang dihadapi pelakon itu.

Waran tangkap itu dikeluarkan Majistret Nor Ariffin Hisham selepas mahkamah membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Alia Sumayyah Amran.

Permohonan dibuat Alia susulan kegagalan pelakon utama Lagenda Budak Setan itu hadir ke mahkamah, ketiadaan penjamin dan tidak mengemukakan sijil cuti sakit kepada mahkamah.

Nor Ariffin berkata, justeru, mahkamah mengeluarkan waran tangkap itu kerana tiada sebarang alasan munasabah dikemukakan kepada mahkamah daripada pihak pembelaan atas kegagalan tertuduh untuk hadir.

Bagaimanapun, peguam Megat Syazlee Mokhtarom yang mewakili Farid Kamil memohon untuk membatalkan pengeluaran waran itu sehingga tarikh perbicaraan seterusnya pada 14 Januari nanti.

“Anak guam saya berada di Johor Bahru sekarang ini dan saya sudah maklumkan kepadanya malam tadi, namun beliau tidak sempat datang,” katanya.

Sebelum ini, mahkamah menetapkan tiga hari untuk perbicaraan berhubung kes dadah dan empat hari lagi untuk kes jenayah yang dihadapinya.

Pada 25 Januari tahun lalu, Farid Kamil, 37, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas tuduhan menggunakan dadah ganja THC atau Tetra Hydrocannibol di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, jam 4.30 petang, 11 Januari 2018.

Bagi kesalahan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Selain itu, Farid Kamil turut berdepan lima pertuduhan iaitu mendatangkan kecederaan kepada seorang orang awam dan anggota polis, menghalang anggota polis menjalankan tugas dan berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan kesat di kaunter pertanyaan Balai Polis Trafik Kota Damansara, kira-kira 1.20 tengah hari, 11 Januari 2018.

Sementara itu, pada 9 Mac tahun lalu, Farid Kamil didakwa sekali lagi atas pertuduhan mereka keterangan palsu bersabit sebuah laporan polis dengan memasukkan keterangan tidak benar yang mana laporan itu boleh digunakan dalam prosiding jenayah dan diambil pertimbangan oleh pegawai polis yang menerima laporan itu.

Pengarah filem V3 Samseng Jalanan itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, jam 5.54 petang, 31 Januari tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 January 2019 @ 3:05 PM