LAPORAN portal Harian Metro 9 Januari lalu
BERNAMA

BAYI lelaki sembilan bulan yang dipercayai didera pengasuhnya di Taman Permai, Sibu Isnin lalu masih berada dalam keadaan kritikal.

Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, bayi kepada pasangan guru itu masih bergantung kepada alat sokongan hayat.

“Kita sentiasa mendapat maklum balas daripada pihak hospital dan keluarga mangsa. Suspek yang ditangkap tempoh hari masih direman sehingga 13 Januari ini.

“Apa-apa tindakan kita selepas ini akan bergantung kepada apa yang berlaku kepada mangsa,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyematan Pangkat Pegawai Rendah Polis di IPD Sibu hari ini.

Wanita berusia 39 tahun itu ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pemeriksaan awal perubatan mendapati bayi berkenaan mengalami pendarahan dan bengkak pada bahagian otak dan kedua-dua mata serta mengalami keretakan tengkorak di sebelah kiri dipercayai disebabkan hentakan kepala ke permukaan keras atau goncangan kuat ke atas mangsa.

Stanley berkata, seorang lagi bayi berusia 17 bulan yang cedera pada bibir, gusi dan patah gigi hadapan disyaki turut didera pengasuh itu kini beransur pulih.

Beliau turut mengesahkan wanita itu tidak menjalankan operasi pusat asuhan, sebaliknya menerima kanak-kanak yang dihantar ibu bapa mereka untuk dijaga secara harian dengan bayaran (atas dasar menolong).

Pengasuh berkenaan menjaga empat kanak-kanak berusia antara sembilan bulan dan tiga tahun.

Selain dua bayi itu, wanita berkenaan turut menjaga dua lagi kanak-kanak yang didapati tidak mengalami apa-apa kecederaan selepas diperiksa.

Wanita itu menjaga tujuh orang kanak-kanak termasuk termasuk tiga anaknya sendiri berusia antara sembilan bulan hingga tiga tahun di rumahnya.

Terdahulu, Stanley menyematkan tanda pangkat seorang pegawai rendah yang dinaikkan pangkat ke Sarjan Mejar, dua Sarjan, lima Koperal dan dua Koperal Bantuan

Dalam ucapannya beliau menasihati setiap anggota polis di IPD Sibu supaya sentiasa mengekalkan kesetiaan kepada pasukan dan tidak bertindak menjatuhkan mana-mana rakan sepasukan mereka.

“Mereka juga perlu sentiasa memajukan diri kerana banyak peluang untuk mereka melanjutkan pelajaran atau meningkatkan ilmu berkaitan tugas masing-masing.

Berita berkaitan

''Bayi koma, patah gigi disyaki didera pengasuh'

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 January 2019 @ 3:09 PM