TENGKU ABDULLAH. FOTO Asyraf Hamzah
Luqman Arif Abdul Karim
cnews@nstp.com.my


“DOAKAN yang terbaik ya.” Demikian titah ringkas Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, sebelum memasuki kamar bagi mempengerusikan mesyuarat khas, di sebuah hotel di Kuala Lumpur, hari ini.

Pembawaan santai dan tampak mesra kepada pemberita yang menanti di ruang masuk kamar berkenaan seakan mengesahkan cakap-cakap dalam kalangan delegasi istana Pahang bahawa pertemuan hari ini bagi mendapatkan perkenan memasyhurkan Tengku Abdullah sebagai Sultan Pahang.

Percaturan itu bagi membolehkan Tengku Abdullah yang selama ini memangku tugas Sultan Ahmad Shah, menerusi watikah kerajaan negeri bertarikh 28 Disember 2016, susulan keadaan kesihatan baginda ayahandanya tidak mengizinkan.

Sebelum ini, media melaporkan Tengku Abdullah mungkin ditabalkan sebagai Sultan Pahang sebelum diangkat sebagai Yang di-Pertuan Agong mengikut penggiliran dalam Majlis Raja-Raja Melayu.

Percaturan untuk memasyhurkan baginda sebagai Sultan Pahang itu, hari ini hampir pasti rentetan mesyuarat Jumaah Pangkuan Diraja Negeri.

Sumber terdekat menjelaskan mesyuarat khas berkenaan dijangka berlangsung antara dua hingga tiga jam untuk mendapatkan persetujuan kerabat dan ahli Jumaah Pangkuan Diraja Negeri.

Pemberita daripada pelbagai agensi media ketika ini masih ‘berkampung’ di luar kamar mesyuarat khas berkenaan, bagi mendapatkan reaksi lanjut Tengku Abdullah sebaik usai perbincangan yang diadakan secara tertutup, sejak jam 4 petang.

Lagi berita berkaitan Agong letak jawatan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 January 2019 @ 5:28 PM