KEBAKARAN berkenaan. FOTO Ihsan Bomba
Fardy Bungga
fardy@nstp.com.my


RATUSAN penduduk hilang tempat tinggal selepas 55 rumah di Kampung Pasir Putih, berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Putatan dekat Kota Kinabalu, musnah dalam kebakaran, hari ini.

Kejadian 12.50 tengah hari itu dipercayai bermula dari sebuah rumah sebelum api merebak dengan cepat ke rumah, berhampiran berikutan kedudukan kediaman yang rapat, selain angin kuat.

Difahamkan, tiada mangsa dilaporkan cedera.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan pada 12.53 tengah hari, sebelum menghantar enam jentera bersama 40 anggota ke lokasi kejadian.

Katanya, bomba turut menghantar satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

Katanya, operasi membabitkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Penampang, Kota Kinabalu dan Jalan Lintas, selain dibantu Bomba Tentera Kem Lok Kawi, polis, Kementerian Kesihatan dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Kebakaran membabitkan 55 rumah dengan anggaran keluasan keseluruhan empat hektar. Operasi terkawal pada jam 3.14 petang dan api padam sepenuhnya pada jam 4.32 petang.

“Kebakaran sukar dikawal disebabkan tekanan air pili bomba rendah dan rumah yang dibina terlalu rapat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 January 2019 @ 6:41 PM