Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my


WANITA mendakwa anaknya cedera di bahagian belakang dan paha selepas dipercayai dipukul dengan rotan oleh guru sebuah pusat pengajian Maahad Tahfiz, di Sungai Buloh, Isnin lalu.

Kejadian dipercayai menyebabkan anak lelakinya berusia 12 tahun melarikan diri daripada pusat pengajian berkenaan bersama rakannya berusia 13 tahun.

Sumber polis berkata, selepas berjaya melarikan diri daripada pusat pengajian itu, pelajar berkenaan pergi ke tempat kerja ibunya di Cheras.

“Mangsa mendakwa dia sudah melarikan diri daripada pusat pengajian itu berikutan takut dengan gurunya yang bertindak memukulnya dengan menggunakan rotan.

“Pelajar itu mendakwa dia mengalami kesan lebam di bahagian belakang dan paha akibat pukulan guru berkenaan. Malah, rakannya mengalami nasib sama.

“Susulan itu, ibu mangsa yang berusia 50 tahun menghantar anaknya ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) untuk mendapatkan rawatan,” katanya ketika ditemui.

Jelasnya, susulan kejadian mangsa membuat laporan polis di pondok polis HCTM, pada hari sama untuk tindakan lanjut.

“Kes diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh untuk siasatan lanjut bagi mengenal pasti kesahihan dakwaan itu. Polis juga masih belum mengetahui punca pelajar berkenaan rotan.

“Polis juga akan merakam keterangan pelajar dan guru terbabit untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 January 2019 @ 6:52 PM