MUJAHID. FOTO Arkib NSTP
Mohd Husni Mohd Noor
cnews@nstp.com.my


MANA-mana penceramah tempatan atau antarabangsa dibenarkan berceramah selagi mereka mematuhi peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atau Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, setiap penceramah perlu mematuhi garis panduan tertentu termasuk mendapatkan penganjur; memohon permit ceramah; dikendalikan badan bukan kerajaan (NGO) berdaftar dan tidak menyentuh isu keharmonian kaum dan agama.

Beliau berkata, kerajaan baharu menggunapakai dasar terbuka kepada setiap penceramah tempatan atau antarabangsa.

“Namun, secara asasnya mereka dilarang menimbulkan isu keselamatan negara dan menjejaskan keharmonian antara kaum dan agama dalam isi ceramah mereka,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan peruntukan khas kepada 13 buah badan bukan kerajaan (NGO) Selangor di Putrajaya, hari ini.

Sebanyak 13 NGO dari Selangor menerima peruntukan khas itu dengan keseluruhan bantuan sebanyak RM110,000.

Katanya, pihaknya juga menghalang mana-mana penceramah yang cuba berkongsi fahaman dan ajaran yang tidak sesuai dengan umat Islam di negara ini.

Ditanya berhubung kedudukan pendakwah dan penceramah terkenal, Dr Zakir Naik di negara ini, Mujahid berkata, perbincangan sudah dibuat dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini, dan beliau berharap Zakir tidak menimbulkan sebarang masalah di negara ini.

“Dia (Zakir) perlu mengikut undang-undang yang sudah ditetapkan jika ingin berceramah.

“Dia (Zakir) berada di negara kita dan kita tidak ekstradisinya ke negara asal. Jika ada isu hubungan antarabangsa membabitkan penceramah terkenal itu, saya serahkan kepada Kementerian Luar dan kebijaksanaan Perdana Menteri untuk menguruskannya,” katanya.

Sebelum ini, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan sedia bekerjasama dengan New Delhi untuk mengekstradisi Zakir ke negara asalnya sekiranya ada bukti kukuh mengaitkan pendakwah terkemuka dunia itu dengan dakwaan kegiatan serangan pengganas di Dhaka selain pengubahan wang haram.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada Dialog Raisina iaitu anjuran kumpulan pemikir Yayasan Pemerhati Penyelidikan (ORF) dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Luar India.

Beliau kini berada di New Delhi untuk lawatan lima hari ke negara itu dan bakal mengadakan perbincangan dengan pemimpin kerajaan dan perniagaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 January 2019 @ 7:00 PM