GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@bh.com.my


POLIS menyerbu pejabat Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) di Damansara Heights, Kuala Lumpur, hari ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dana, kes penipuan dan salah guna kuasa badan berkenaan.

Timbalan Pengarah (Siasatan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, serbuan dijalankan JSJK Bukit Aman dan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields bermula jam 10 pagi tadi.

“Serbuan bermula pada pagi tadi sehingga kini bagi mengambil dokumen penting dan tiada sebarang penahanan dilakukan.

“Kita akan cari dulu dokumen berkenaan dan jika ada bukti kukuh, tindakan susulan akan diambil,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Saiful Azly berkata, pihaknya menerima dua laporan polis berhubung penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa oleh lembaga pengarah terdahulu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah,” katanya.

November lalu, Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran dilaporkan berkata, kakitangan HRDF berpangkat tinggi dipercayai menyalahgunakan sekitar RM100 juta daripada dana RM300 juta milik badan berkenaan.

Kulasegaran juga menubuhkan jawatankuasa pengawasan pentadbiran bebas lima anggota (GOC) untuk mengkaji dan menyiasat dakwaan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 January 2019 @ 7:30 PM