Luqman Arif Abdul Karim


HASIL mesyuarat Jumaah Pangkuan Diraja Negeri akan diumumkan pada sidang media di Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang, esok.

Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak, ketika menjelaskan perkara itu berkata sebarang perincian akan dikemukakan pada sidang media, jam 3 petang.
“Saya tidak boleh kata ia mengenai apa, tetapi semuanya akan dimaklumkan pada sidang media itu,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Terdahulu, Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah hadir mempengerusikan mesyuarat Jumaah Pangkuan Diraja Negeri di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Turut berangkat, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar, selain dihadiri ahli mesyuarat Jumaah Pangkuan Diraja Negeri.

Sepanjang mesyuarat khas itu berlangsung, Tengku Abdullah kelihatan keluar meninggalkan kamar beberapa kali, dipercayai bagi memberi ruang anggota Jumaah Pangkuan Diraja Negeri mengadakan siri perbincangan dan pengundian.

Difahamkan, peranan Tengku Abdullah susulan keberangkatan baginda meninggalkan majlis sebagai pengerusi mesyuarat diambil alih Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah.

Sebaik selesai mesyuarat yang berlangsung hampir empat jam, laungan ‘Daulat Tuanku’ jelas kedengaran dari kamar khas berkenaan, sebelum Tengku Abdullah berkenan berangkat meninggalkan majlis.

Mencuri tumpuan lensa, Tengku Puan Pahang dilihat berulang kali mengesat air mata ketika mengambil tempat untuk majlis bergambar bersama kerabat diraja dan anggota Jumaah Pangkuan Diraja Negeri.

Sumber BH memaklumkan, wakil bagi mempengerusikan sidang media berhubung keputusan mesyuarat jumaah sama ada bakal diterajui Tengku Muda Pahang atau Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Katanya, penganjuran sidang media itu juga harus mendapat perkenan dan selepas dititahkan Tengku Abdullah yang ketika ini memangku tugas Sultan Ahmad Shah sebagai Sultan Pahang Kelima.

“Banyak lagi proses selepas ini, termasuk memohon sembah mengadap Sultan Ahmad Shah bagi mendapat perkenan yang ketika ini menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

“Ia bukan proses mudah, sebaliknya membabitkan beberapa prosedur mengikut istiadat diraja,” katanya.

Lagi berita berkaitan Agong letak jawatan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 January 2019 @ 8:28 PM