JUSMAN lari daripada tahanan polis selepas berjaya membuka gari berantai di tangannya di Mahkamah Sandakan, petang semalam. FOTO ihsan polis.
Poliana Ronnie Sidom
poliana@nstp.com.my


SEORANG tahanan warga Indonesia melarikan diri daripada kawalan polis selepas berjaya membuka gari berantai di tangannya dalam kejadian di Mahkamah Sandakan, petang semalam.

Jusman Amir, 29, yang dibawa ke mahkamah untuk pendakwaan kes dadah dipercayai melarikan diri ketika proses memuatkan tahanan ke dalam trak untuk dihantar ke Penjara Sibuga Sandakan dalam kejadian 3.30 petang itu.

Suspek yang berbadan kurus, berkulit gelap, mempunyai misai serta janggut dikatakan melarikan diri ke kawasan semak di Taman Khong Lok, Batu 7, di Sandakan.

Ketika kejadian, tahanan Ibu Pejabat Polis (IPD) Beluran itu yang sepatutnya ditahan di Penjara Sandakan sementara menunggu sebutan semula kes atas kesalahan mengambil dadah, memakai baju hitam dengan tulisan ‘sex pistol’, berseluar pendek putih dan mempunyai tatu di lengan tangan kiri.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintendan Abdul Fuad Abdul Malek, berkata operasi mengesan dan menangkap suspek dilancarkan serta-merta oleh Jabatan Siasatan Jenayah dan Tugas Am dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9).

“Suspek masih belum dapat dikesan sehingga kini dan Ops Tutup 24 jam dilancarkan serta-merta untuk mengesan suspek.

“Kami meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan suspek untuk menghubungi polis,” katanya, malam ini.

Abdul Fuad berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 223 /224 Kanun Keseksaan iaitu penjawat awam dengan cuai membiarkan seseorang lari dari pengurungan atau tentangan terhadap penangkapan yang sah dari segi undang-undang.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi talian 089-212222.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 January 2019 @ 9:58 PM