JASON (kiri) melayan pengunjung pada pameran produk hiasan dalaman dan keperluan rumah Perfect Livin’ 19 di Pusat Konvensyen Setia SPICE, Bayan Baru, Georgetown, hari ini. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal.
Zuhainy Zulkiffli
cnews@nstp.com.my


ISTAR Ideas Factory Sdn Bhd (iStar Ideas), penganjur pameran produk hiasan dalaman dan keperluan rumah Perfect Livin’ 19 di Pulau Pinang, menyasarkan jualan sehingga RM20 juta menerusi pameran bermula hari ini hingga Ahad.

Pameran di Pusat Konvensyen Setia SPICE, Bayan Baru, Georgetown itu dijangka menarik lebih 30,000 pengunjung sepanjang tempoh pameran bermula 11 pagi hingga 9 malam.

Pengarahnya, Jason Yap, berkata jangkaan itu berdasarkan sambutan menggalakkan diterima dalam siri pameran sebelum ini.

Katanya, penganjuran terbabit diadakan pada masa sesuai sempena sambutan Tahun Baru Cina yang akan diraikan tidak lama lagi.

“Inilah masanya bagi pengunjung membeli kelengkapan rumah pada saat akhir menjelang perayaan yang boleh didapati dengan harga istimewa serta berpatutan.

“Walaupun difahamkan faktor ekonomi perlahan, harga ditawarkan adalah sesuai dengan situasi itu,” katanya kepada media di Georgetown, hari ini.

Mengulas lanjut, Jason berkata, Perfect Livin’ 19 kali ini menempatkan 250 gerai pameran yang membabitkan 150 pempamer daripada syarikat serta jenama terkenal.

Beliau berkata, antara terdapat pada pameran itu ialah aksesori bilik mandi, bilik tidur, katil, perabot, kelengkapan dapur, kelengkapan pejabat, dekorasi serta hiasan dalaman dan lain-lain lagi.

Katanya, pengunjung berpeluang membawa pulang pelbagai hadiah sepanjang tiga hari pameran berkenaan melalui jualan dan aktiviti dijalankan.

“Pengunjung berpeluang memenangi hadiah sehingga RM100,000 bagi setiap pembelian sekurang-kurangnya RM1,000 selain pembelian menerusi ‘Happy Hour’ pada 5 petang hingga 7 malam setiap hari.

“Setiap hari sebanyak 500 ‘dry bag’ eksklusif akan diberi kepada pengunjung terawal manakala rantai kunci (key-chain) edisi terhad Maneki-Neko akan diberi kepada semua pengunjung yang mendaftar masuk menerusi Facebook mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 January 2019 @ 10:17 PM