PESAWAT jenis Pilatus PC-7 MK II yang terpaksa melakukan pendaratan cemas di landasan KTU, malam tadi. -Foto Ihsan TUDM
Nor Azizah Mokhtar
cnews@nstp.com.my

PESAWAT latihan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) jenis Pilatus PC-7 MK II yang sedang dalam penerbangan latihan, melakukan pendaratan cemas di landasan Kolej Tentera Udara (KTU), Alor Setar, malam tadi.

Markas Tentera Udara menerusi satu kenyataan hari ini, memaklumkan ketika kejadian, pesawat milik KTU itu sedang diterbangkan seorang pelatih daripada Kolej Penerbangan 1 (INSPENS 1) yang dalam latihan penerbangan solo pada waktu malam.

“Pesawat mula terbang pada 10.14 malam sebelum pesawat itu mengalami kecemasan ketika cuba melakukan pendaratan pada 10.38 malam.

“Bagaimanapun, pesawat terbabit berjaya mendarat dan juruterbang pelatih itu disahkan selamat tanpa sebarang kecederaan,” kata kenyataan itu.

Susulan kejadian itu, katanya TUDM akan menubuhkan satu pasukan penyiasatan untuk mengenal pasti punca kejadian dengan lebih terperinci.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 January 2019 @ 7:34 AM