Amin Ridzuan Ishak


KUANTAN: Seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) dan tiga pegawai kanan syarikat pengurusan air direman empat hari bagi membantu siasatan kes rasuah dan salah guna kuasa membabitkan projek bernilai RM23 juta.

Turut direman sehingga Isnin ini adalah tiga kontraktor dan semua mereka yang berusia antara 30 sehingga 60 tahun disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Malaya Kuantan, Humaira KM Haider, selepas membenarkan permohonan SPRM yang dibuat Penguasanya, Muhammed Fiqrun Md Talip.


SEORANG ketua pegawai eksekutif dan tiga pegawai kanan syarikat pengurusan air serta tiga kontraktor direman empat hari bagi membantu siasatan atas kegiatan rasuah dan salah guna kuasa membabitkan projek bernilai RM23 juta.

CEO yang bergelar Datuk itu dan seorang lagi pegawai kanan syarikat berkenaan diwakili Peguam Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar, manakala lima individu yang lain tidak diwakili peguam.

Terdahulu, ketujuh-tujuh suspek yang memakai baju lokap SPRM berwarna jingga tiba di Kompleks Mahkamah Kuantan pada jam 9.20 pagi dan dibawa keluar lebih sejam kemudian selepas menerima reman.

Akhbar semalam melaporkan satu lagi badan pengurusan air di negara ini turut dicemari skandal rasuah selepas skandal sama dibongkar SPRM membabitkan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) beberapa tahun lalu.

Difahamkan, empat pegawai kanan termasuk seorang CEO disyaki bersekongkol dengan beberapa pemilik syarikat untuk memonopoli projek pembekalan air di Pahang yang mana kegiatan itu didakwa sudah berlangsung sejak 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 January 2019 @ 11:33 AM