Mohamad (tengah) dan calon BN, Ramli Mohd Nor pada sidang media PRK Parlimen Cameron Highlands. FOTO Farizul Hafiz Awang
Rizanizam Abdul Hamid


BARISAN Nasional (BN) mengakui berdepan cabaran untuk meraih undi susulan tindakan Presiden Progresif Rakyat (MyPPP), Tan Sri M Kayveas menarik diri pada saat akhir sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands hari ini.

Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, jentera BN perlu bertungkus-lumus mempertahankan kerusi berkenaan yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Mei lalu.

“Saya dengar Tan Sri Kayveas tak (jadi) bertanding calon, nak berikan sokongan kepada calon Pakatan Harapan (PH) itu terpulang kerana hak beliau.

“Cabaran (kepada BN) itu ada kerana beliau adalah pemimpin yang dulu dari BN jadi orang (pengundi) akan lihat beliau sebagai pemimpin yang tidak lagi bersama BN.

"Jadi dia (pengundi) punya pertimbangan (untuk undi) itu berlainan," katanya ditemui di pusat penamaan calon di Sekolah Menengah Sultan Ahmad Shah, Tanah Rata hari ini.

Terdahulu, Kayveas yang sebelum ini mengumumkan akan bertanding dalam PRK kali ini sekali gus memberi saingan sengit kepada calon BN dan PH mengumumkan menarik diri sebagai calon parlimen berkenaan.

Beliau turut menyatakan sokongan termasuk membantu kempen pilihan raya calon Pakatan Harapan (PH) M Manogaran sepanjang dua minggu sehingga hari pengundian 26 Januari ini.

Sebelum ini Kayveas pernah menyatakan hasrat untuk bertanding kerusi Parlimen Cameron Highlands pada PRU-14, namun BN memutuskan kerusi itu ditandingi calon MIC, Datuk C Sivarraajh.

Sehubungan itu, Kayveas yang kecewa dengan keputusan itu mengumumkan MyPPP keluar daripada BN, beberapa hari selepas PRU-14 berakhir.

Pada PRU-14, Sivarraajh memenangi kerusi Parlimen Cameron Highlands dengan 10,307 undi menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), M Manogaran dan tiga calon lain.

Pada 4 Jun lalu, Manogaran daripada DAP memfailkan petisyen memohon perisytiharan keputusan PRU-14 pada 9 Mei lalu bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands yang disandang Sivarraajh daripada MIC terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Berikutan itu, Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan keputusan pilihan raya berkenaan terbatal.

PRK 26 Januari ini menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan dua calon bebas.

Pegawai Pengurus PRK Cameron Highlands, Datuk Ishak Md Napis, hari ini mengesahkan pertandingan membabitkan M Manogaran, daripada Pakatan Harapan (PH), Ramli Mohd Noor (BN) serta dua calon bebas iaitu Sallehudin Ab Talib, 61, dan Wong Seng Yee, 40.

  • Lagi berita berkaitan PRK Cameron Highlands

  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 January 2019 @ 12:46 PM