GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Noor Atiqah Sulaiman

KETUA Setiausaha (KSU) sebuah kementerian hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa membabitkan kontrak kerajaan bernilai lebih RM99 juta.

Menurut sumber, lelaki bergelar Datuk berusia 60 tahun itu tiba di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada 12 tengah hari.

Katanya, ini adalah kali kedua pegawai tinggi kementerian itu dipanggil ke SPRM untuk dirakamkan percakapan.

“Semalam beliau memberi keterangan kepada SPRM selama dua jam bermula pada 10 pagi dan berakhir pada 12 tengah hari.

“Kita jangka untuk hari ini SPRM akan merakam keterangan beliau sehingga 3 petang,” katanya kepada NSTP ketika dihubungi di Putrajaya, hari ini.

Terdahulu, Mahkamah Majistret Putrajaya membebaskan seorang bekas pengerusi agensi kerajaan bergelar Datuk selepas direman empat hari bagi membantu siasatan bagi kes sama.

Turut dibebaskan ialah seorang wanita iaitu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat swasta.

Majistret Atikah Abu Hassan membebaskan mereka dengan jaminan SPRM sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin setiap seorang.

Kedua-dua mereka didakwa menggunakan kedudukannya sebagai pengerusi untuk mencadangkan sebuah syarikat secara lantikan terus dalam projek Kempen Pengiklanan Digital bagi pasaran China untuk tempoh 2018 hingga 2020 yang dianggarkan berjumlah lebih RM99 juta dengan menggunakan peruntukan agensi kerajaan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 January 2019 @ 2:25 PM