FOTO Hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


SEJUMLAH RM28.4 juta tunggakan bil air di seluruh Negeri Sembilan direkodkan Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS) sehingga Disember tahun lalu.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam SAINS, Norzita Ismail berkata, pemilik akaun tertunggak digesa menjelaskan bayaran bagi mengelak tindakan susulan diambil.

Beliau menjelaskan, pelbagai usaha dilakukan oleh SAINS untuk mengurangkan jumlah tunggakan berkenaan termasuk mengeluarkan notis pemotongan mengikut Seksyen 89(3) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.

“Tindakan pemotongan itu adalah kaedah dilaksanakan ke atas pemilik akaun yang tidak menjelaskan bayaran bagi tempoh 44 hari sehingga menyebabkan tunggakan tinggi dan melebihi deposit.

“Sekiranya pemilik akaun masih tidak menjelaskan bayaran dalam tempoh 14 hari notis dikeluarkan, pemotongan bekalan air akan dilakukan tanpa mengira premis domestik mahupun industri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Norzita berkata, SAINS turut memandang serius kegiatan curi air yang mengakibatkan gangguan bekalan air di premis berhampiran kerana mengganggu aliran sistem retikulasi sedia ada.

Katanya, SAINS mempertingkatkan operasi penguatkuasaan bagi membendung kegiatan berkenaan.

“Pemilik premis yang didapati melakukan kegiatan itu boleh dikenakan hukuman denda RM50,000 atau penjara sehingga enam bulan mengikut Seksyen 89(9) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.

“Pemilik juga boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 123 akta sama yang memperuntukkan hukuman denda RM100,000 atau penjara sehingga setahun, jika sabit kesalahan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan curi air boleh menghubungi talian bebas tol SAINS 1-800-88-6982.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 January 2019 @ 2:51 PM