PENGETUA SMK Chung Hua Sibu, Tam Yoh Yin (kiri) menenangkan Hajijah. FOTO Ihsan Fb Ppd Sibu


PERASAAN sedih, sayu dan hiba bercampur baur apabila melihat status yang dimuat naik Hajijah Tahir di Facebooknya hari ini, sebaik mengetahui harapan untuk anaknya, Aariz Harraz Zahin Azman, kembali pulih agak tipis.

Aariz Harraz, sembilan bulan kini hanya bergantung kepada mesin bantuan hayat selepas dipercayai didera pengasuhnya, Selasa lalu.

Luahan Hajijah itu mengundang simpati ramai netizen yang turut mendoakan agar keajaiban memihak bayi berusia sembilan bulan itu.

“Ku pasrah dan reda dengan ketentuan Ilahi, Ya Allah, terima kasih Ya Allah pinjamkan Aariz Harraz Zahin,” itu catatan Hajijah yang difahamkan dimuat naik selepas doktor mengesahkan otak bayi berkenaan sudah tidak lagi berfungsi, pagi tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, pengesahan itu dibuat doktor selepas pemeriksaan dan ujian terhadap otak bayi malang itu.

“Masa kematian otak bayi itu direkodkan jam 9.10 pagi tadi. Bagaimanapun, pasangan suami isteri itu belum bersedia untuk menghentikan mesin bantuan oksigen hari ini.

“Jadi, pihak hospital bersetuju dengan permintaan mereka untuk menghentikannya esok,” katanya ketika dihubungi NSTP hari ini.

Dalam kejadian Isnin lalu, mangsa berada dalam keadaan lemah ketika diambil dari rumah suspek di Taman Permai Jaya, Sibu, sebelum dikejarkan ke Hospital Sibu untuk pemeriksaan lanjut.

Berdasarkan pemeriksaan pakar kanak-kanak, mangsa disahkan mengalami pendarahan pada otak dan kedua-dua matanya selain mengalami retak di bahagian kiri kepala akibat hentakan kuat.

Suspek ditahan polis susulan laporan yang dibuat oleh bapa mangsa dan dia kemudiannya mengakui menggoncang bayi terbabit kerana tidak berhenti menangis, selain mendakwa tertekan kerana mengalami kesakitan akibat datang bulan.

Suspek direman sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Siasatan mendapati suspek tidak mempunyai lesen untuk menjalankan pusat asuhan dan hanya membantu menjaga kanak-kanak yang dihantar oleh ibu bapanya pada waktu bekerja.

Berita berkaitan

''Bangun sayang.....'

''Bayi disyaki didera masih kritikal'

''Bayi koma, patah gigi disyaki didera pengasuh'

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 January 2019 @ 4:16 PM