TENGKU Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah (depan tengah) mengumumkan Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sebagai Sultan Pahang ke-6 di Istana Abu Bakar, Pekan. FOTO Muhd Asyraf Sawal
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
cnews@nstp.com.my


RAKYAT Pahang rata-rata bangga dan gembira dengan pemasyhuran Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sebagai Sultan Pahang keenam.

Penduduk Maran, Zafril Nasir, 37, berkata, dia berbangga kerana Tengku Abdullah seorang yang berjiwa rakyat.

“Saya terharu dan berbangga dengan pemasyhuran Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sebagai Sultan Pahang kerana Tuanku seorang berjiwa rakyat dan memahami denyut nadi segenap lapisan masyarakat.

“Semoga Tuanku dikurniakan kesihatan yang baik serta berpanjangan demi memakmurkan lagi negeri Pahang dengan limpah rahmat daripada Allah SWT kepada rakyat Pahang,” katanya.

Selain itu, Muhammad Shamirul Mohamed, 25, dari Kampung Berkat, Maran pula berkata: “Saya gembira dan teruja kerana ke bawah duli Tuanku Pemangku Raja Pahang (Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah) dimasyhur sebagai Sultan Pahang.

“Saya sebagai rakyat Pahang doakan Tuanku sentiasa dilindungi Allah SWT dan terus memimpin negeri Pahang dengan bijaksana supaya rakyat akan terus hidup dalam keadaan aman dan makmur.”

“Satu kebanggaan buat rakyat Pahang kerana Tengku Abdullah sememangnya terkenal dengan sikap turun padang dan mendengar keluh kesah rakyat.

Menurut Tok Batin kampung Orang Asli, Sungai Kiol Jerantut, Awang Tow, 61, pula, keprihatinan baginda terhadap rakyat sejak di usia muda menjadi tunjang kepada hubungan mesra itu dan dia doakan ia berkekalan selamanya.

Bagi Faridah Abdullah, 60, dari Sungai Soi, Kuantan, dia bersyukur dengan pemasyhuran Tengku Abdullah.

“Bersyukur Tengku Abdullah dimasyhur sebagai Sultan Pahang keenam, ia juga satu kebanggaan kerana baginda memang terkenal dengan sikap rendah diri dan ringan tangan membantu mereka yang dalam kesusahan.

“Kalau musim banjir, baginda antara yang terawal turun padang lihat rakyat yang terjejas sebab banjir, malah mak cik mempunyai pengalaman disapa Tengku Abdullah ketika di pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya.

Mohd Najib Mohd Taib, 59, Kampung Langgar, Pekan pula berkata: “Sudah tentu jadi berita baik untuk rakyat Pahang kerana sepanjang memangku tugas sebagai Sultan Pahang, Tengku Abdullah menunjukkan ciri-ciri kepemimpinan yang baik dan disukai rakyat.

“Saya doakan baginda dilanjutkan usia dan diberikan kesihatan yang baik untuk terus menerajui negeri Pahang.”

Berita berkaitan

''Tengku Abdullah Sultan Pahang Keenam [METROTV]'

Biodata Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 January 2019 @ 4:55 PM