Mohd Nasif Badruddin
mnasif@hmetro.com.my


“Arwah mengadu kerap sesak nafas dan sakit dada sejak Mac tahun lalu sebelum menjalani pembedahan jantung bulan lalu, namun kesihatannya semakin merosot,” kata Fuzilah Hassan, 54, isteri bekas Pengarang Eksekutif Harian Metro Mohd Zian Johari, 64, yang meninggal dunia akibat komplikasi jantung tengah malam tadi.

Allahyarham menghembus nafas terakhir di sisi ahli keluarga di Hospital Serdang kira-kira 12.20 tengah malam selepas menjalani pembedahan jantung di hospital itu pada 12 Disember lalu.

Fuzilah berkata, beberapa hari lalu, doktor mengesahkan berlaku jangkitan kuman dalam darah hingga merebak ke seluruh anggota badan suaminya.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada yang hadir dan memohon maaf sekiranya sepanjang mengenalinya, arwah ada berbuat salah dan silap.

“Malah sekiranya arwah ada berhutang, sila bertemu dengan kami,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di Hulu Klang, hari ini.

Jenazah Allahyarham yang dibawa pulang ke rumah di Ukay Perdana, kemudiannya dimandi, dikafan dan disolatkan di Masjid Ukay Perdana selepas solat Zuhur sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kemensah kira-kira 3 petang.

Antara yang hadir menziarahi arwah ialah bapa saudaranya yang juga Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa; bekas Setiausaha Akhbar Timbalan Perdana Menteri Datuk Dr Ibrahim Yahya; Pengarang Eksekutif Harian Metro Tuan Asri Tuan Hussein dan Timbalan Pengarang Eksekutif BH Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.

Zian yang memulakan kerjaya sebagai wartawan The New Straits Times pernah dilantik sebagai Pengarang Sukan Berita Harian, Pengarang Eksekutif Harian Metro dan Pengarang Eksekutif Berita Minggu sebelum berkhidmat sebagai Pegawai Media di Pejabat Setiausaha Agung UMNO.

Allahyarham meninggalkan seorang balu serta enam anak berusia 16 hingga 33 tahun.

Sementara, anak bongsu arwah, Zeeti Izati Mohd Zian, 16, berkata, kenangan terakhir yang tidak dapat dilupakan apabila arwah ayahnya menunjukkan isyarat jari tanda bagus apabila dia memperoleh 10A dalam Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) selepas selesai menjalani pembedahan itu.

“Arwah selalu tekankan penting pelajaran. Beliau tidak pernah lupa meniup semangat untuk menuntut ilmu dan akan saya ingat selamanya,” katanya. Sementara itu, Annuar berkata, Allahyarham dikenali sebagai kawan, saudara dan pekerja yang sangat disiplin dan menyenangkan.

“Sebelum pembedahan lagi kami ada berbincang mengenai komplikasi tetapi arwah bertegas untuk menjalaninya, namun Allah lebih sayangkan dirinya. “Pemergian beliau suatu kehilangan buat kami sekeluarga,” katanya.

Berita berkaitan

Bekas Pengarang Eksekutif HM meninggal dunia

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 January 2019 @ 5:03 PM