GAMBAR hiasan


HASRAT pencuri yang memecah masuk rumah di Jalan Nibong dekat Dungun untuk melarikan diri ke Australia tidak kesampaian selepas dia ditahan polis.

Suspek berusia 21 tahun yang berasal dari Jalan Melati itu ditahan 9 malam, Rabu lalu, di Stesen Bas Kuala Dungun oleh sepasukan anggota polis ketika dia dalam perjalanan ke Kuala Lumpur sebelum berangkat ke Australia untuk bekerja mengutip buah di sana.

Timbalan Ketua Polis Daerah Dungun, Deputi Superintendan Mohamad Zohan Seman berkata, suspek dipercayai memecah masuk rumah di Jalan Nibong pada 5 Januari.

Menurutnya, mangsa wanita berusia 56 tahun menyedari rumahnya dipecah masuk, kira-kira 1 petang.

“Selepas masuk ke dalam rumah, mangsa mendapati pintu dapurnya diumpil dan bilik tidurnya dalam keadaan berselerak.

“Hasil pemeriksaan mendapati enam jenis barangan kemas termasuk seutas jam tangan bernilai RM15,000 hilang,” katanya ketika ditemui pada Bengkel Pencegahan Jenayah Anjuran Kawasan Rukun Tetangga Jalan Melati, di Hotel UiTM Dungun, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Perpaduan Negeri Terengganu, Burhanuddin Daud dan pegawai Jabatan Perpaduan Daerah Dungun, Tengku Mazilawati Tengku Muhamad.

Mohamad Zohan berkata, hasil siasatan mendapati jam tangan yang dilaporkan hilang itu ditemui pada suspek manakala suspek mengaku telah menggadai kesemua barangan kemas yang dicuri itu di Kuala Lumpur.

“Siasatan polis juga mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes pecah rumah dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Zohan berkata, polis menahan seorang suspek berusia 20 tahun pada 6 Januari dipercayai terbabit dalam kejadian pecah masuk tabika di Sura Jeti.

“Suspek ditahan di rumahnya 2.15 petang dan suspek bersama seorang lagi rakannya yang masih bebas dipercayai memecah masuk ke tabika terbabit pada 5 Januari lalu.

“Hasil siasatan polis mendapati beras, susu tepung, makanan bijirin dan sebuah komputer dilaporkan hilang di tabika itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 January 2019 @ 5:30 PM