ANTARA tenaga pengajar dan pelajar Madrasah Tahfiz Al Yamani Sungai Bayor di Selama, Perak. FOTO ihsan Ahmad Shahrir Mohd Salleh
Amir Abd Hamid
amir_hamid@mediaprima.com.my


MADRASAH Tahfiz Al Yamani Sungai Bayor di Selama, Perak memerlukan sumbangan ihsan orang ramai untuk terus beroperasi selain untuk pembinaan madrasah tahfiz perempuan.

Setiausahanya Ahmad Shahrir Mohd Salleh, 50, berkata, madrasah berkenaan memerlukan sekurang-kurangnya kira-kira RM8,000 sebulan untuk kos operasi termasuk bayaran gaji, mudir, empat ustaz serta makan minum pelajar.

Menurutnya, madrasah yang dibuka 15 Ogos tiga tahun lalu, ketika ini mempunyai 36 pelajar lelaki sedang giat menghafaz kitab suci al-Quran.

Ia tidak mengenakan sebarang bayaran yuran terhadap pelajar dan segala kos perbelanjaan berkenaan selama ini adalah melalui sumbangan orang ramai.

“Madrasah untuk hafizah sedang dalam perancangan untuk dibina. Ada penduduk wakaf tanah seluas dua ekar (0.81 hektar) yang terletak kira-kira satu kilometer dari tapak madrasah lelaki.

“Kerja tolak tanah untuk pembinaan madrasah perempuan sudah pun dimulakan membabitkan kos hampir RM300,000. Buat masa ini jumlah terkini sumbangan bagi pembinaan sebuah bangunan dua tingkat ini berjumlah RM12,000,” katanya ketika dihubungi Harian Metro di Kuala Lumpur, semalam.

Ahmad Shahrir berkata, pihak madrasah ingin membuka peluang kepada muslimin dan muslimat sama-sama infaq untuk membeli beberapa keperluan lain madrasah yang masih lagi tidak mencukupi.

Keperluan itu, katanya, termasuk katil dua tingkat untuk asrama pelajar, tilam dan bantal, almari besi, bumbung tangga, bumbung koridor dan bumbung depan.

Orang ramai yang ingin membantu boleh sumbangkan derma di akaun Maybank 558211514476 atas nama Madrasah Tahfiz Sungai Bayor dan menghantar salinan slip sumbangan menerusi WhatsApp kepada Ahmad Shahrir (0133312880) atau Abd Moin Mat Daud (0194568107).

“Bagi memastikan kos perbelanjaan untuk anak tahfiz tidak putus, pihak madrasah juga menganjurkan program RM30 sebulan yang ditularkan menerusi WhatsApp dan Facebook (FB),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 January 2019 @ 5:45 PM