KHALID (tengah) bersama penerima sumbangan. Turut hadir Presiden Srikandi, Datuk Norasyikin Abdul Ghani (dua kanan). FOTO Supian Ahmad
Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@nstp.com.my


KERAJAAN belum membuat keputusan muktamad berhubung penggunaan mata wang kripto di negara ini.

Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad berkata, ketika ini cadangan untuk menggunakan mata wang digital itu masih dalam pertimbangan.

“Berhubung isu mata wang kripto, kerajaan malangnya belum membuat satu keputusan yang muktamad sebab ada orang bertanya kepada saya sama ada ia dibenarkan atau sebaliknya.

“Buat masa ini sama ada ia dibenarkan atau tidak, masih belum jelas. Dalam keadaan itu sekali pun, kita sudah melihat ada syarikat yang berjaya menjadi perintis (mata wang kripto) di peringkat tempatan dan antarabangsa,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan Sumbangan Persekolahan Fasa Kelima Anjuran Pertubuhan Kebajikan Insaniah Srikandi Malaysia (Srikandi) di Kuala Lumpur, hari ini.

Khalid berkata, Pakatan Harapan (PH ) sebelum ini pernah melancarkan mata wang kripto iaitu Harapan Coin, namun ia belum dapat dilaksanakan.

“Kita sebelum ini pernah melancarkan Harapan Coin tetapi malangnya saya tidak menjadi Menteri Kewangan sebaliknya dilantik sebagai Menteri Wilayah (Persekutuan).

“Jadi saya tidak boleh menggesa perkara itu untuk dilaksanakan,” katanya.

Sebelum ini Khalid berkata, rancangan untuk menjadikan Harapan Coin sebagai mata wang kripto kebangsaan dan digunakan dalam pentadbiran kerajaan PH pada masa depan masih diteruskan.

Beliau Yang Juga Pengasas Bersama Harapan Coin Berkata, Secara Peribadi Beliau Berpandangan Penggunaan Wang Kripto Adalah Teknologi Masa Depan Yang Mempunyai Masa Depan Cerah Dan Negara Ini Wajar Memanfaatkan Potensinya Dengan Sebaik Mungkin.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, seramai 100 pelajar anak yatim serta kurang kemampuan dari Lembah Klang menerima bantuan peralatan persekolahan daripada Srikandi dan penaja bersama, Blockchain.MY.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 January 2019 @ 5:53 PM