Lili menunjukkan senarai panggilan telefon diterimanya yang mahu perkhidmatan seks. FOTO Norrasyida Arshad
Iskandar Shah Mohamed dan Norrasyidah Arshad
cnews@nstp.com.my


ARKITEK wanita hidup dalam ketakutan apabila jadi mangsa pihak tidak bertanggungjawab yang mengiklankan nombor telefon bimbitnya dalam satu laman sesawang bagi khidmat seks.

Mangsa berusia lingkungan 30-an itu kini menerima ratusan panggilan telefon dan mesej individu tidak dikenali termasuk dari luar negara yang bertanyakan mengenai ‘servis’ berkenaan. Dia yang mahu dikenali sebagai Lili berkata, perkara itu disedari apabila menerima mesej bertalu-talu daripada beberapa lelaki ‘mata keranjang’ ketika bekerja di pejabatnya di Shah Alam, petang Rabu lalu.

“Pelik dengan keadaan itu, saya kemudian membalas satu daripada mesej berkenaan untuk bertanyakan bagaimana individu terbabit memperoleh nombor telefon saya.

“Lelaki itu kemudian memaklumkan nombor saya diiklankan dalam satu laman sesawang pada hari sama.

“Bagi mendapatkan kepastian, saya kemudian melayari laman itu dan terkejut melihat gambar wanita dalam keadaan separuh bogel dengan turut tertera nombor telefon saya,” katanya.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan dia terus diganggu sehingga ke hari ini sehingga sukar untuk melelapkan matanya. “Selain bertanyakan mengenai harga ‘servis’, mereka meminta gambar dan alamat tempat tinggal saya.

“Mujur gambar yang tertera dalam iklan itu bukan diri saya. Jika tidak, maruah dan nama saya tercemar,” katanya yang mengesyaki perbuatan itu dilakukan individu dikenalinya.

Bimbang keselamatan diri, anak kelahiran Sarawak yang masih bujang itu membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Lili berharap individu yang menyebarkan nombor telefonnya itu diberkas pihak berkuasa dan tidak mahu perkara sama berlaku kepada wanita lain.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan dan berkata, siasatan sedang dijalankan pihaknya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 January 2019 @ 5:55 PM