PEKERJA warga Bangladesh cedera selepas ditimpa tembok batu ketika kerja-kerja pembaikan longkang di USJ 11 di Subang Jaya, hari ini. FOTO NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


PEKERJA warga Bangladesh nyaris maut apabila pagar batu dari tadika menghempapnya ketika sedang melakukan kerja pembaikan longkang di USJ 11/4M di Subang Jaya, hari ini.

Dalam kejadian 11.30 pagi itu, mangsa berusia 34 tahun adalah pekerja kontraktor Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Norizham Mohd Nudin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada 11.38 pagi.

“Enam anggota bersama satu jentera digerakkan ke lokasi kejadian.

“Pasukan bomba melakukan kerja-kerja ‘shoring’ (penghadang) bagi mengelakkan runtuhan kedua berlaku,” katanya.

Norizham berkata, bomba menggunakan jentolak untuk mengangkat kepingan batu yang menghempap mangsa.

“Mangsa berjaya dikeluarkan dari runtuhan berkenaan.

“Mangsa cedera di bahagian kaki dan menerima rawatan kecemasan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 January 2019 @ 6:14 PM