Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@nstp.com.my


HANYA kerana tidak diberi wang RM500, seorang anak tergamak menumbuk kepala dan pipi kiri ibunya serta mengugut mencederakan bapanya di rumah mereka di Taman Desa Permai, Lunas, Kulim, Khamis lalu.

Dalam kejadian jam 11 malam itu, lelaki berusia 25 tahun itu pada mulanya meminta wang daripada bapanya berusia 65 tahun dengan alasan untuk diguna bagi mencari pekerjaan.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, bagaimanapun mangsa enggan menyerahkan wang diminta itu menyebabkan suspek mengamuk sebelum menyerang ibunya berusia 60-an dengan menumbuk kepala dan pipi kiri.

Menurutnya, suspek turut mengugut bapanya jika tidak mahu menyerahkan wang itu keesokan hari dia akan diapa-apakan.

“Bimbang kejadian lebih buruk, mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Lunas.

“Bertindak atas laporan itu, polis mengesan suspek sebelum menahannya di rumah mangsa jam 4 petang hari ini,” katanya.

Ahmad Nasir berkata, siasatan awal suspek tidak mengaku memukul dan mengugut ibu bapanya.

“Suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan 506 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 January 2019 @ 6:53 PM