GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Noor Atiqah Sulaiman
cnews@nstp.com.my


KETUA Setiausaha (KSU) sebuah kementerian, hari ini, memberikan keterangan kira-kira enam jam kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kontrak kerajaan bernilai RM99.7 juta.

Menurut sumber, ini adalah kali kedua lelaki berusia 60 tahun yang bergelar Datuk itu dipanggil untuk dirakamkan percakapannya.

“Semalam, beliau memberi keterangan kepada SPRM selama dua jam bermula pada jam 10 pagi dan berakhir pada jam 12 tengah hari.

“Hari ini, SPRM merakam keterangannya pada jam 12 tengah hari dan berakhir pada jam 6 petang tadi,” katanya kepada NSTP ketika dihubungi di Putrajaya, hari ini.

Difahamkan, menurut sumber SPRM merakam percakapannya berkaitan kes seorang bekas pengerusi agensi kerajaan yang didakwa menggunakan kedudukannya untuk mencadangkan sebuah syarikat supaya diberi lantikan secara terus bagi projek Kempen Pengiklanan Digital bagi pasaran China untuk tempoh 2018 hingga 2020.

“Projek berkenaan berjumlah RM99.7 juta dan ia menggunakan peruntukan kementerian berkenaan,” katanya.

Terdahulu, Mahkamah Majistret Putrajaya semalam membebaskan seorang bekas pengerusi agensi kerajaan bergelar Datuk selepas direman empat hari bagi membantu siasatan bagi kes sama.

Turut dibebaskan, seorang wanita iaitu ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat swasta.

Majistret Atikah Abu Hassan membebaskan mereka dengan ikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin setiap seorang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 January 2019 @ 7:32 PM