PARANG yang dirampas polis dipercayai digunakan suspek untuk menyerang ahli keluarganya. FOTO Ihsan Polis
Nor Farhani Che Ad
cnews@nstp.com.my


LELAKI ditahan polis selepas cuba mencederakan ahli keluarganya dengan parang di Kampung Bukit Kukus, Lunas, dekat Kulim, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, dalam kejadian 2 petang tadi, suspek berusia 20 tahun menyerang ahli keluarganya, selain turut merosakkan kenderaan ayah tiri serta memecahkan cermin rumah mereka.

“Menurut ayah tiri suspek, dia menerima panggilan daripada adik suspek meminta mangsa pulang ke rumah kerana lelaki itu sedang mengamuk di rumah mereka.

“Ketika mangsa pulang dengan menaiki kereta, dia mendapati suspek sedang memegang sebilah parang sebelum mengejar kenderaan mangsa.

“Suspek meminta mangsa keluar dari kenderaan yang dinaikinya sambil mengugut untuk mencederakan mangsa sekiranya tidak menuruti kehendaknya.

“Akibat ketakutan, mangsa tidak turun dari keretanya, bagaimanapun suspek bertindak menetak kereta mangsa berkali-kali,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Nasir berkata, mangsa juga mendapati cermin rumah mereka turut pecah dipercayai angkara suspek.

Katanya, mangsa diberitahu suspek turut bertindak mengejar anak dan ahli keluarga mangsa lain sambil melibas parang berkenaan.

“Suspek sering melakukan perbuatan yang sama sebelum ini.

“Mangsa turut membuat laporan polis kerana bimbangkan keselamatan diri dan ahli keluarga mangsa,” katanya.

Katanya, suspek kini ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 January 2019 @ 7:58 PM