Dua nelayan tempatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berikutan menggunakan bot pukat sorong dan melakukan aktiviti menangkap ikan secara haram. FOTO Ihsan MARITIM.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


TINDAKAN dua nelayan melakukan aktiviti menangkap ikan secara haram menggunakan pukat sorong di perairan Pulau Kalumpang, Kuala Sepetang, dekat Taiping, mengundang padah apabila dicekup Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim), malam semalam.

Pengarah Maritim Zon Kuala Kurau, Leftenan Komander Mohamad Zainal, berkata, ketika melakukan Operasi Sayong, pihaknya terserempak dengan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan pada kedudukan 3.05 batu nautika dari Pulau Kalumpang, kira-kira jam 9.35 malam.

Menurutnya, Maritim segera menghampiri bot berkenaan namun tekong bot yang menyedari kehadiran bot ronda pasukan itu bertindak melarikan diri ke arah hutan paya bakau di situ.

“Tindakan mereka cuba meloloskan diri bagaimanapun berjaya dipatahkan dengan kepantasan bot ronda yang digunakan.

“Bot bersama tekong dan seorang awak-awak berusia antara 20an hingga 50an segera ditahan dan diiringi ke jeti pengkalan untuk pemeriksaan lanjut,” katanya di sini.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati bot yang digunakan tidak mempunyai sebarang nombor pendaftaran dan melakukan aktiviti menangkap ikan menggunakan pukat sorong di kawasan tidak dibenarkan, selain tidak mempunyai sebarang lesen menangkap ikan yang sah.

“Bot yang digunakan kini disita dan ditempatkan di pengkalan Maritim di sini untuk siasatan lanjut.

“Sebanyak 30 kilogram ikan baja dirampas manakala tekong dan awak-awak dilepaskan dengan jaminan polis setelah proses dokumentasi direkodkan,” katanya.

Mohamad berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 8 (a) Akta Perikanan 1985 dan menegaskan pihaknya serius menangani sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 January 2019 @ 9:13 PM