Amin Ridzuan Ishak

“KALAU sudah pun tercatit saya ke situ, ke situlah saya (sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16). Ada dalam Surah Yaasin ayat ke-82, kalau kita baca baru faham,” titah Sultan Pahang, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Baginda berkata demikian ketika mengulas kemungkinan dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 berikutan pemasyuhrannya sebagai Sultan Pahang Keenam menggantikan ayahandanya, Sultan Ahmad Shah berkuatkuasa semalam.

Surah Yaasin ayat 82 dimaksudkan baginda berbunyi: ‘Innama amruhu idza arada syaian an yaqula lahu kun fayakun’ yang bermaksud: 'Sesungguhnya urusannya-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya, Jadilah! Maka jadilah ia.’

Sultan Abdullah bertitah, baginda pada masa ini mahu memfokuskan kepada istiadat pemasyuhrannya dan angkat sumpah sebagai Sultan Pahang keenam di Istana Abu Bakar Pekan pada Selasa depan terlebih dahulu.

“Dari situ baru saya fikir apakah harus saya buat selepas itu. Ketika ini saya tidak dapat nyatakan lagi mengenai perkara itu (sebagai Yang di-Pertuan Agong ,” titahnya ketika ditemui pemberita selepas solat subuh di Masjid Imam Ash Shafie Kota SAS, Kuantan, hari ini.

Majlis Raja-Raja akan bermesyuarat di Istana Negara, Kuala Lumpur pada 24 Januari ini untuk memilih Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Majlis Raja-Raja juga akan mengadakan mesyuarat khas bagi acara Mengangkat Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong pada 31 Januari ini.

Pada 6 Januari lalu, Sultan Muhammad V meletakkan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 yang dibuat selaras Perkara 32 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu, Sultan Abdullah bertitah, baginda insaf dan perasaannya bercampur sedih serta syukur di atas pemasyuhrannya sebagai Sultan Pahang yang mendapat kepercayaan daripada ayahandanya, adik beradiknya serta rakyat.

“Ini tanggungjawab besar dan saya akan berusaha memberikan yang terbaik kepada rakyat Pahang.

“Saya hendak janji lebih sangat pun ini bukan masanya untuk dinyatakan, tetapi saya akan berikan segala usaha dalam apa jua bidang sekali pun,” titahnya.

Titahnya, fokus utamanya sudah tentu memastikan kesejahteraan rakyat dan menjalinka kerjasama baik dengan Kerajaan Pusat dan Negeri yang ditadbir dua pihak berbeza.

“Tidak kira kerajaan mana sekali pun, kita harus mempunyai hubungan baik untuk membela rakyat yang memerlukan pertolongan.

“Saya akan buat segala dalam konteks kuasa diberikan kepada Raja Berperlembagaan, saya perlu banyak nasihat, pandangan bernas dan kritikan pedas,” titahnya.

Berita berkaitan

  • 'Tengku Abdullah sebagai calon Agong'
  • Putera Mahkota kedua paling lama
  • Doakan terbaik untuk ayahanda
  • ''Rakyat Pahang gembira, terharu'
  • ''Tengku Abdullah Sultan Pahang Keenam [METROTV]'
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 January 2019 @ 8:24 AM
    SULTAN Abdullah bersalaman dengan jemaah selepas menunaikan solat subuh di Masjid Ash Shafie. FOTO Muhd Asyraf Sawal