AYAM yang digunakan untuk bersabung dirampas bersama sangkar. FOTO ihsan Polis
Zuliaty Zulkiffli

LAPAN kaki judi yang leka menyabung ayam di bawah pokok berhampiran rumah tidak bernombor di Kampung Belukar, Mukim Padang Perahu di Tunjang, tidak sempat melarikan diri apabila ditahan polis, semalam.

Kesemua lelaki berusia 28 hingga 69 tahun itu ditahan anggota Task Force, Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu dalam serbuan Ops Dadu pada 3 petang.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, ketika serbuan dilakukan, sekumpulan lelaki sedang berdiri melingkungi satu bulatan disyaki sedang bermain pertaruhan judi ayam.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas lapan ayam jantan, empat sangkar ayam, empat kerusi plastik kecil dan alat tembaga yang mempunyai pemegang kayu yang dipercayai digunakan untuk merawat ayam yang cedera akibat bersabung di lokasi itu.

"Berikutan itu, kesemua barangan itu dan suspek dibawa ke IPD Kubang Pasu untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Ismail berkata, kesemua yang ditahan itu berasal dari sekitar Tunjang, Kodiang, Jitra dan Alor Setar yang dipercayai berjudi.

Siasatan awal, mereka bekerja sebagai pesawah, pengembala kambing, buruh, peniaga dan ejen insuran.

"Hasil siasatan juga mendapati hanya seorang mempunyai rekod lampau berkaitan kes judi dan semua suspek kini disiasat mengikut Seksyen 44(1)(g) Akta Binatang 1953," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 January 2019 @ 9:02 AM