RAKAMAN CCTV menunjukkan suspek rompak di sebuah farmasi di Taman Kasih, Simpang Renggam.
Adnan Ibrahim


Simpang Renggam: Meluru masuk ke dalam farmasi sambil mengacukan senjata menyerupai senapang automatik. Itu tindakan nekad salah seorang dari dua penjenayah yang merompak sebuah farmasi di Taman Kasih di sini, petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, dua suspek berusia 30-an meluru masuk ke dalam premis dengan salah seorang daripada suspek memegang objek menyerupai senjata api.

“Ketika kejadian, suspek mengacukan ‘senjata’ itu ke arah dua pekerja farmasi yang berada di bilik stor belakang manakala salah seorang suspek yang tidak bersenjata pergi ke kaunter bayaran untuk mengambil peti simpanan wang tunai.

“Suspek kemudian melarikan diri menaiki sebuah kereta dipercayai model Nissan Sylphy berwarna kelabu Kesemua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya semalam.

Menurut Mohd Abduh, pengurus farmasi itu kemudian membuat satu laporan polis di Balai Polis Simpang Renggam dan mendakwa mengalami kerugian kira-kira RM300.

Katanya, kejadian disaksikan lima pekerja farmasi namun tiada pelanggan ketika itu.

Semua pergerakan suspek berjaya dirakam beberapa kamera litar tertutup (CCTV) farmasi itu.

“Bagaimanapun, pengurus farmasi memaklumkan rakaman CCTV berpusat di Seremban, Negeri Sembilan dan dia (pengurus) akan cuba mendapatkan salinan rakaman secepat mungkin bagi membantu siasatan.

“Beberapa cap jari berjaya ditemui Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di tempat kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Kasturiah Arif di nombor 0133137051 atau hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang di 077784222.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 January 2019 @ 9:28 AM