TN Alagesh dan Nik Sukry Ramli

KENYATAAN Ahli Dewan Negara, Senator Bob Manolan Mohamad yang didakwa mengugut Tok Batin di Cameron Highlands yang tidak menyokong kerajaan pusat, adalah pendapat peribadinya.

Calon Pakatan Harapan (PH), M Manogaran berkata, kenyataan Bob Manolan tidak menggambarkan pendirian PH secara keseluruhannya.

"Saya sendiri pun tidak bersetuju dengan kenyataan dibuat Bob Manolan... ia adalah pendapat peribadi beliau dan ia bukanlah pendirian kerajaan Pusat atau pimpinan parti dalam PH.

"Kalau saya pun kena ugut seperti itu, saya tidak terkesan pun... cuma, mungkin akan beri kesan terhadap mereka (Orang Asli) dan terguris dengan kenyataan terbabit.

"Walaupun undi daripada masyarakat Orang Asli bukanlah penentu, namun ia tidak bermakna (undi) mereka tidak penting... jentera kita akan memberi tumpuan terhadap kebajikan Orang Asli," katanya.

Beliau berkata, pendekatan sama akan digunakan dalam kempen membabitkan warga FELDA di sekitar daerah Cameron Highlands.

Katanya, pelbagai masalah berbangkit seperti bebanan hutang dan kadar hasil jualan kelapa sawit dapat diselesaikan.

"Kebanyakan masalah dihadapi peneroka FELDA ketika ini, hanya boleh diselesaikan kerajaan Pusat... isu FELDA Global Ventures Berhad (FGV) adalah perkara lama dan boleh dikatakan setiap tahun dibangkitkan warga peneroka... semuanya boleh diselesaikan kerajaan pusat.

“Berilah masa kerana kita menjadi kerajaan hanya kira-kira lapan bulan... saya percaya, masalah ini sentiasa mendapat perhatian dan keutamaan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan menteri Kabinet berkaitan untuk diselesaikan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Ceramah Umum dan Majlis Memperkenalkan Calon PH di Bilik Gerakan PH FELDA Sungai Koyan 3, dekat Lipis, malam tadi.

Turut hadir Penyelaras Kempen PH Bagi Kawasan Jelai, Young Syefura Othman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari.

PRK Parlimen Cameron Highlands menyaksikan saingan empat penjuru membabitkan Manogaran; calon BN, Ramli Mohd Nor; serta dua calon BEBAS, Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee.

  • Lagi berita berkaitan PRK Cameron Highlands
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 January 2019 @ 10:41 AM
    M Manogaran menjawab soalan media ketika membuat lawatan ke bilik gerakan di Felda Sungai Koyan 3. FOTO Farizul Hafiz Awang