Rizanizam Abdul Hamid


CALON Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands Ramli Mohd Nor tidak menghalang mana-mana pihak untuk membantu kempen pilihan rayanya termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menurutnya, beliau mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk membantunya meraih undi daripada penduduk di daerah ini.

“Saya tak boleh halang sesiapa sahaja (bantu kempen) semua sekali (termasuk Najib).

“Semua pihak (boleh bantu kempen),” katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan pertemuan bersama pengundi di Tanah Rata, Cameron Highlands, hari ini.

Dalam kempen hari pertamanya itu, beliau yang ditemani isteri, Rozana Kamal memperkenalkan dirinya sebagai penduduk tempatan Orang Asli yang menjadi kekuatannya untuk meraih undi.

Ditanya apakah tahap keyakinannya untuk memenangi PRK kali pertama disertainya itu, Ramli berkata, beliau yakin 22 peratus pengundi daripada kaum Orang Asli akan memilihnya sebagai Ahli Parlimen yang baru.

“Dari Bertam hingga Kampung Hulu (Orang Asli) semua saudara mara saya, pakcik, makcik.

“Saya harap kaum lain juga dapat menyokong saya,” katanya.

PRK Parlimen Cameron Highlands menyaksikan saingan empat penjuru membabitkan Calon Pakatan Harapan (PH), M Manogaran,Ramli; serta dua calon BEBAS, Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee.

Komposisi kaum berdasarkan data demografi Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU-14) menunjukkan pengundi Melayu sebanyak 33.44 peratus, Cina (28.42 peratus), India (14.42 peratus) dan lain-lain yang kebanyakannya Orang Asli, 23.67 peratus.

  • Lagi berita berkaitan PRK Cameron Highlands

  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 January 2019 @ 12:41 PM
    RAMLI (dua kiri) beramah mesra dengan masyarakat tempatan ketika berkempen di sekitar Tanah Rata, Cameron Highlands. FOTO Abdullah Yusof