Nur Hasni (tiga dari kanan) menerima bantuan daripada wakil Persatuan Sahabat Kanser Kanak-kanak Wilayah Utara. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


IMPIAN kanak-kanak lelaki dari Chuping, Padang Besar menjadi pemain bola sepak profesional terbantut berikutan dirinya menghidap Hemophagocytic Lymphohistiocytosis (HLH) peringkat akhir.

Muhammad Syawal Azizan, 12, menghidap penyakit sistem imun tidak stabil seterusnya merosakkan tisu serta organ termasuk tulang, hati dan otak.

Ibunya, Nur Hasni Talib, 32, berkata, penyakit anak keduanya itu dikesan selepas Muhammad Syawal demam panas Mei tahun lalu.

“Dia mengadu sakit kepala dan badannya panas secara tiba-tiba sehingga terpaksa dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) bagi mendapatkan rawatan.

“Bagaimanapun, demamnya tidak kebah selepas sebulan terlantar di hospital sehingga doktor mengambil sampel darah sebelum dirujuk ke Hospital Pulau Pinang,” katanya ditemui dalam lawatan Persatuan Sahabat Kanser Kanak-Kanak Wilayah Utara di Taman Dato’ Jaafar hari ini.

Nur Hasni berkata, selepas anaknya disahkan menghidap HLH peringkat akhir, Muhammad Syawal ada menjalani rawatan kimoterapi namun ia tidak memberi kesan kepadanya.

“Dia tidak boleh terlalu aktif kerana sistem daya tahan badannya tidak kuat selain mudah demam jika terdedah kepada ramai orang.

“Apa yang kami mampu lakukan adalah menahannya daripada melakukan aktiviti lasak.

“Dia juga terpaksa melupakan hasrat untuk bermain bola sepak meskipun peluangnya cerah dalam sukan itu,” katanya.

Suri rumah itu berkata, anaknya kini diberikan ubat tahan sakit kerana dia sering diserang sakit kepala sehingga demam panas dan hayatnya mampu bertahan lagi empat bulan.

“Dia tidak boleh demam kerana itu membahayakan kesihatannya dan bulan lalu dia demam enam kali sehingga terpaksa dimasukkan ke hospital.

“Muhammad Syawal kini berulang alik ke Pulau Pinang untuk menjalani rawatan setiap bulan bagi menilai daya tahan badannya menghadapi sakit itu,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkan bantuan ke akaun Bank Rakyat 220013539064 atas nama suami Nur Hasni, Saiful Bahari Che Hasan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 January 2019 @ 2:49 PM