Shamsul Munir Safini


“KAMI dah berjaya pecah dinding belakang, namun tak sangka dia terperangkap di dinding kiri kabin.”

Itu kekecewaan sekumpulan penduduk yang gagal menyelamatkan Muhammad Saifuddin Ali Subahan, 8, yang rentung dalam keadaan terduduk di dalam sebuah kabin yang terbakar di Kampung Jawa, Bayan Lepas, 12.10 tengah hari tadi.

Penduduk berkata, sebaik api marak dan mendapat tahu ada kanak-kanak terperangkap di situ, mereka cuba memecahkan dinding belakang kabin.

Seorang daripada mereka berkata, mereka berjaya memecahkan dinding belakang kabin namun gagal mengeluarkan mangsa kerana dia terperangkap di bahagian tepi kabin berdindingkan papan lapis.

Difahamkan, kedudukan mangsa terperangkap hanya diketahui selepas terdapat kesan kopek pada bahagian luar kiri kabin, namun penduduk tidak dapat berbuat apa-apa kerana api terlalu marak.


KABIN yang terbakar sehingga mengorbankan seorang kanak-kanak. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal

Bapa mangsa, Subahan Senni Santar Abdullah, 37, berkata, pagi sebelum kejadian dia dan anaknya berada di rumah menonton televisyen.

Katanya, tidak lama selepas itu dia memberi wang RM2 kepada anaknya untuk dia keluar makan bersarapan bersama kawan-kawannya.

“Saya teringat lagi bagaimana reaksi Saifuddin yang begitu gembira ketika menerima wang itu sebelum keluar dari rumah.

“Tidak lama selepas itu saya mendapat berita daripada rakannya bahawa dia terbakar di dalam kabin tempat mereka sering bermain dan menganggapnya tidak serius,” katanya.

Subahan berkata, dia menyangka ia hanya luka kecil dan pergi ke lokasi kejadian yang terletak hanya bersebelahan dengan warung makan milik nenek mangsa.

Katanya, sebaik sampai, dia tidak menyangka api marak dengan kuat dan membakar keseluruhan bahagian dalam kabin dan menjerit memanggil namanya namun tidak bersahut.

“Ketika itu orang ramai mula menyimbah air cuba memadam kebakaran termasuk ada yang cuba memecahkan dinding kabin.

“Saya menjerit memanggil namanya namun tidak bersahut, dan ketika itu hati saya bercampur baur dengan kesedihan dan ketakutan mengenangkan nasib anak,” katanya ketika ditemui hari ini.


Subahan Senni Santar. FOTO Mikail Ong

Menurutnya, sebaik api berjaya dipadamkan bomba, hancur hatinya melihat Saifuddin yang terperangkap rentung terbakar di bucu kabin.

“Bapa mana yang tidak sedih, dia suka bermanja dan bergurau dengan saya, sudah pasti saya akan merindui saat itu,” katanya.

Subahan berkata, kabin itu tidak berkunci dan penduduk menjadikannya tempat untuk meletakkan barangan sukan dan beberapa barangan lain di situ.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bayan Baru, Muhammad Tarmizi Abdul Salam berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.15 tengah hari sebelum tiba sembilan minit kemudian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, premis berkenaan sudah 80 peratus terbakar dan mendapat tahu ada seorang kanak-kanak terperangkap di dalamnya.

“Kebakaran berjaya dipadam jam 12.40 sebelum mayat mangsa yang terperangkap dan rentung dikeluarkan,” katanya.

Menurutnya, punca kejadian masih disiasat dan kabin itu tidak disambung dengan bekalan elektrik dan masih mengumpul keterangan daripada saksi sama ada kanak-kanak berkenaan bermain api di situ.

Ketua Polis Barat Daya Superintendan A A Anbalagan berkata, ketika kejadian mangsa bersama seorang lagi rakannya bermain api di dalam kabin.

Menurutnya, hasil keterangan rakan, dia memaklumkan bahawa mangsa ketika itu sedang bermain pemetik api sehingga menyebabkan sofa yang terdapat di dalam kabin terbakar sebelum menyambar barangan lain di situ.

Berita berkaitan

Budak rentung dalam kontena

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 January 2019 @ 6:03 PM