MENTERI Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun. FOTO Arkib NSTP.
Raja Noraina Raja Rahim


MENTERI Besar, Aminuddin Harun mendahului senarai 340 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena Hari Keputeraan Ke-71 Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, hari ini.

Beliau akan menerima Darjah Seri Setia Negeri Sembilan Yang Amat Cemerlang (SSNS) membawa gelaran Datuk Seri, pada istiadat pengurniaan yang akan diadakan di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah.

Turut menerima darjah kebesaran sama adalah Pengarah Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Abdul Hamid Bador.

Seramai tiga orang pula menerima Darjah Dato' Paduka Negeri Sembilan (DPNS) yang membawa gelaran Datuk, iaitu Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Zulkefly Mohamad Omar; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dr Razali Ab Malik dan Setiausaha Agung Kementerian Hal Ehwal Parlimen Maghribi, Dr Hassan Ammari.

Darjah Setia Bakti Negeri Sembilan (DBNS) yang turut membawa gelaran Datuk dianugerahkan kepada 16 orang iaitu Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Mohd Ekhwan Toriman.

Rektor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Negeri Sembilan, Profesor Dr Nasrudin Mohammed; Pendaftar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Muhammad Haizuan Rozali; Pengetua Cemerlang Sekolah Menengah Sains Tuanku Munawir (SASER), Sabuddin Sani.

Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Pkharuddin Ghazali; Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr Zainudin Mohd Ali; Pengarah Kor Jurutera Elektrik dan Jentera Diraja (KJLJD), Brig Jen Ir Najmuddin Jaafar.

Pesara Rejimen Semboyan Diraja Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Brig Jen Zolkefli Saini; Mantan Ketua Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Izhar Othman.

Peguam, Bong Ah Loi; Pengarah Eco Growth Plantation Sdn Bhd, Leong Siew Siong; Pengarah Mysmartgold Bullion Sdn Bhd, Chin Thiem Fook; Pengarah Nam Heng Safety Glass Sdn Bhd, Tan Lai Huan, Pengarah Urusan Costrade Group, Tio Boon Heng dan ahli perniagaan Chong Thiam Woon serta Mohamed Dauzkaply Nor Ghazali.

Selain itu, seramai sembilan orang menerima Darjah Setia Negeri Sembilan (DNS), Darjah Tuanku Muhriz (5), Darjah Pekerti Terpilih (10), Pingat Ahli Setia Negeri Sembilan (42), Pingat Khidmat Cemerlang Masyarakat (86), Pingat Jasa Kebaktian (140), Pingat Khidmat Lama (15) dan Bentara Tuanku Muhriz (12).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 January 2019 @ 12:30 AM