KERETA yang terbakar dalam kemalangan membabitkan empat kereta di Kilometer 18 Jalan Sungai Choh-Bukit Beruntung, dekat Kuala Kubu Bharu, malam tadi. FOTO Ihsan Polis dan Bomba.
Nurul Hidayah Bahaudin


DUA parah, manakala lima lagi cedera dalam kemalangan membabitkan empat kereta di Kilometer 18 Jalan Sungai Choh-Bukit Beruntung, dekat Kuala Kubu Bharu, malam tadi.

Kejadian kira-kira 7 malam itu, menyebabkan mangsa, Saiful Sharil Abdullah Sani, 28, dan Mohd Norazam Kurdi, 45, parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Lim Bak Phai berkata, empat kereta yang terbabit dalam kemalangan itu adalah Proton Gen 2, Proton Wira, Perodua Viva dan Proton Iswara.

“Kemalangan itu dipercayai berlaku ketika Proton Gen 2 yang dalam perjalanan dari Bukit Beruntung ke Sungai Buaya hilang kawalan.

“Kereta itu kemudian masuk ke laluan bertentangan dan melanggar bahagian kanan tiga kereta lain yang datang dari arah bertentangan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bak Phai berkata, kejadian itu menyebabkan Proton Gen 2 berkenaan terbakar dan remuk di bahagian depan, manakala kenderaan lain turut remuk.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berkata, pihaknya menerima laporan kejadian jam 7.20 malam.

“Seramai 27 anggota termasuk pasukan bomba sukarela bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dan BBP Rawang dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Proton Wira yang membawa lima penumpang iaitu dua kanak-kanak dan seorang wanita dihantar ke klinik swasta oleh orang awam, manakala seorang lelaki yang tersepit berjaya dikeluarkan pihak bomba sebelum dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.

“Proton Gen 2 yang membawa tiga penumpang membabitkan seorang lelaki dan wanita yang parah bersama seorang kanak-kanak perempuan yang cedera ringan turut dibawa ke hospital sama,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Katanya, kejadian itu menyebabkan Proton Gen 2 yang terbakar berkenaan musnah sepenuhnya sebelum kebakaran itu berjaya dipadamkan sepenuhnya beberapa minit kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 January 2019 @ 12:50 AM