GAMBAR hiasan
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


POLIS menahan empat lelaki susulan pergaduhan di hadapan sebuah pusat membeli belah di Kemayan Square di Seremban, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, kejadian berlaku akibat perselisihan faham yang bermula dari sebuah kedai permainan elektronik di situ.

Katanya, dalam kejadian 10.15 malam itu, empat lelaki bergaduh sehingga menimbulkan kekecohan dan orang awam yang melihat insiden itu menghubungi polis.

“Anggota polis yang tiba di lokasi pada jam 10.20 malam menahan semua suspek berusia 20 hingga 39 tahun.

“Mereka direman empat hari bermula Sabtu lalu bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan di Seremban, hari ini.

Thiew berkata, pihaknya masih mengesan seorang saksi dikenali S Munisvaran, 37, bagi membantu siasatan berhubung kejadian.

“Siasatan polis mendapati kejadian disebabkan perselisihan faham di kedai permainan itu dan berlanjutan ke luar premis.

“Seorang suspek turut cedera dalam pergaduhan itu," katanya.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan saksi dan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat polis, Inspektor Mohammad Najeeb Mohammed Shukri di talian 06-6033284.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 January 2019 @ 9:21 AM